Saudara saudari sekalian, salah satu sifat buruk yang perlu di
jauhi dalam hidup seorang Muslim sejati adalah sifat suka berburuk sangka.
Sifat buruk sangka ini datang daripada sikap suka berprasangka. Sikap prasangka
ini terbahagi kepada dua iaitu prasangka baik dan prasangka buruk. Dalam
al-Quran, surah al-Hujurat ayat 12, Allah menyebut tentang prasangka, yang
bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan
(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian
dari sangkaan itu adalah dosa.”. Apabila melihat sesuatu perkara, manusia lebih
cenderong menafsirnya daripada sudut negatif. Jadi, bagi mengelakkan berburuk
sangka, kita perlu membuat usul periksa atau bertanya lanjut tentang sesuatu
perkara sebelum membuat andaian. Allah mengingatkan kita dalam Quran, surat
al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: 'Wahai orang-orang yang beriman, apabila
datang kepadamu orang fasik (orang yang tidak mengamalkan ajaran Islam) yang
membawa sesuatu berita, maka siasat dengan teliti (benar atau tidak).'
Oleh itu, apabila kita fikir tentang orang lain, lihatlah daripada
sudut pandangan yang positif dan baik. Contohnya apabila kita melihat rakan
kita menolong cikgu mengangkat barang, fikirlah dari sudut yang positif. Iaitu,
dia kasihan kepada cikgu itu atau dia seorang yang sememangnya rajin dan suka
menolong orang lain. Jangan cepat berprasangka buruk atau melihat dari aspek
negatif seperti berfikir rakan kita itu hendak mengampu cikgu atau sebagainya.Dengan
cara itu,kita akan sentiasa dapat merapatkan silaturahim dengan kawan-kawan.
Kita juga dapat melatih diri menjauhi sikap berprasangka buruk dan sekaligus
dapat menjauhi fitnah. Ini kerana, prasangka buruk melahirkan sikap buruk yang
lain iaitu fitnah dan mengumpat.
Fitnah ialah berkata sesuatu yang tidak benar terhadap orang lain.
Ia berpunca dari prasangka buruk. Dosa fitnah ini juga cukup besar dan amat
dikutuk oleh ajaran Islam. Fitnah boleh memutuskan silaturahim, merosakan
hubungan sosial dan sekaligus mengucar-kacirkan masyarakat dan negara kita.
Manakala mengumpat pula berkata tentang orang lain berkaitan sesuatu yang tidak
disukainya, walaupun perkara itu benar.Dalam al-Quran, surah al-Hujurat, ayat
12, Allah menegah sikap keji ini. Maksudnya: “...dan janganlah setengah kamu
mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging
saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu
kamu jijik kepadanya.”
Allah mengibaratkan mengumpat ini sebagai memakan daging mayat yang
busuk. Kita tentu sekali akan menjauhi dan berasa jijik terhadap perbuatan
memakan mayat. Begitulah sepatutnya kita turut berasa jijik terhadap perbuatan
mengumpat.Oleh itu, bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan fitnah dan
mengumpat, jauilah sikap berburuk sangka. Bersihkan hati dan fikiran kita
daripada segala sangkaan yang buruk. Orang yang gembira dan berjaya dalam hidup
tidak akan bersangka buruk kepada orang lain. Dia sentiasa melihat dirinya dan
apa yang ada disekelilingnya dengan fikiran yang positif dan baik sangka,
walaupun dia mungkin tidak sehebat, semewah atau secantik orang lain.
No comments:
Post a Comment