Ada manusia yang menyangka
apabila Allah Taala menurunkan suatu musibah kepada dirinya, dia menganggap itu
suatu petanda Allah mahu menghinakannya. Maka ramai pula orang lain yang
memusuhinya akan menuduh dengan pelbagai spekulasi, mereka akan berkata: ”Oh,
begitulah akibat yang menimpa orang yang zalim, Allah telah menghinakannya.Yang
lebih teruk lagi ada pula yang percaya bahawa penyebab musibah itu adalah
daripada kuasa hebat seorang manusia. Pernah diceritakan ada seorang hamba
Allah yang menziarahi masjid wali-wali di Indonesia, tiba-tiba sakit kononnya
kerana dia tidak percaya kuasa ghaib di kubur wali itu. Lahawla wala quwwata
illa billah, apakah yang mendatangkan sakit itu adalah wali? Sungguh
kepercayaan karut sebegini mampu memusnahkan akidah.Musibah yang menimpa kita bukanlah
kerana buatan manusia yang memiliki kuasa atau ilmu tertentu. Ia hanyalah
datang daripada Allah Taala bagi membawa khabar gembira bahawa Dia sentiasa
merahmati kita.
Boleh jadi jika kita tidak
disentuh musibah, kita akan cepat lupa dan tak perasan langsung dengan
kewujudan Allah Taala dalam kehidupan anda. Jika kita merintih disebabkan hati
yang hancur mengenangkan nasib, kemudian mengadu kepada Allah Taala dan percaya
bahawa Dia akan menghapus luka itu dan menggantikan musibah itu dengan anugerah
yang lebih baik, maka sesungguhnya saat-saat seperti ini iman dan keyakinan
kita kepada Allah Taala telah berada di atas kemuncak yang paling tinggi.Tiada
yang lebih menggembirakan Allah Taala melainkan suatu saat ketika Dia mendengar
tangisan penyesalan dan keluhan orang-orang yang mahu meminta pertolongan-Nya.
Allah suka melihat hamba-Nya mengaku lemah dan tidak berdaya. Allah juga
menyukai hamba-Nya yang mengaku bahawa kekuatan dan kekuasaan itu hanya milik
Allah SWT. Rancanglah serapi dan sebaik mungkin, tetap tertulis, kuasa Allah
sahaja yang menentukan nasib kita.
No comments:
Post a Comment