Bersyukur ke hadrat Allah
Taala kerana melahirkan kita ke alam dunia yang fana ini. Kita dihidupkan dan
insyallah akan dimatikan dengan izinNya. Kita dipinjamkan jasad dan nyawa untuk
beberapa ketika yang diizinkan yang kita sendiri tidak mengetahui kecuali
diriNya. Hidup kita mengikut apa yang disabdakan oleh Baginda Rasul sebagai
seorang pengembara yang sedang dalam perjalanan ke suatu destinasi yang jauh
dan memerlukan banyak bekalan. Tentunya dalam perjalanan itu banyak halangan
dan gangguan yang boleh menjejaskan matlamat untuk ke destinasi. Pengembara
yang bijak tidak akan terpengaruh dengan keseronokan dan kebahagiaan sementara
yang ditempuh dalam perjalanan kerana dia tahu bahawa dia sebenarnya adalah
warga satu alam lagi. Manakala pengembara yang lupa daratan akan menikmati
sepuas-puasnya apa sahaja yang ditempuh; seolah-olah inilah dunianya sehingga
terlupa matlamat asal untuk menuju ke dunianya yang sebenar. Mereka terpedaya
dengan kemanisan dunia dan menyangkakan apa yang dipungut itulah BEKALAN.
Sebagai seorang pengembara,
kita seharusnya bijak melayarkan bahtera ke arah yang betul mengikut kompas
yang dipiawaikan oleh Rasul. Untuk sampai ke destinasi AKHIRAT, pungutlah
bekalan sebanyak mungkin. Anggaplah segala keseronokan duniawi sebagai BEBAN yang
boleh menjejaskan perjalanan ke sana. Ingatlah pesanan orang tua : Kita
sebenarnya adalah WARGA AKHIRAT - tempat yang kekal abadi; sementara dunia ini
ialah rumah tumpangan sementara yang penuh kepalsuan dan tipu-daya. Oleh itu
kita mestilah bijak memilih mana satu BEKALAN dan mana satu BEBAN. Barangan
yang dikategori sebagai BEBAN akan menyusahkan perjalanan ke akhirat manakala
barangan BEKALAN akan berfaedah untuk kehidupan di sana. Kutiplah bekalan
sebanyak mungkin dan hindarkan memikul beban yang menyulitkan perjalanan.Nabi
Muhammad S.A.W pernah bersabda : "Beramallah
untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Beramallah untuk
akhirat seolah-olah kamu akan mati keesokannya."
Ramai mentafsirkan Hadith
ini dari segi keduniaan iaitu kerja bersungguh-sungguh kerana kita akan hidup
lama di dunia. Tetapi makna yang tersirat ialah kita hidup lama lagi di dunia
jadi kenapa nak bekerja beria-ia mencari pendapatan lebih sedangkan masa banyak
lagi. Tetapi dalam hal akhirat, kita akan mati esok - jadi terpaksalah buat
persiapan dengan lengkap dan berhati-hati kerana kita akan mati esok. Tafsiran
begini jarang diterangkan oleh umum terutama pemburu harta di dunia. Islam
tidak menghalang umatnya mencari harta-benda dan kekayaan; asalkan ia tidak
menghalang dari melakukan pengabdian kepada Allah. Malahan orang Islam
yang kaya adalah amat diperlukan kerana ia adalah sumber ekonomi negara dan
sebagai juruwang bagi saudaranya yang miskin dan memerlukan bantuan.
Orang kaya adalah pembantu orang msikin, orang kuat adalah pelindung golongan
yang lemah, orang alim sebagai sumber cahaya dan ilmu kepada orang jahil.
Begitulah golongan ini saling bantu-membantu antara satu dengan lain.
Apa yang Islam larang ialah meletakkan
keduniaan sebagai sasaran utama dalam hidup melebihi hal-hal keakhiratan dan
pengabdian kepada Allah. Sekiranya keduniaan diberikan keutamaan dalam hidup
bererti konsep syahadahnya terjejas. Intipati syahadah ialah mengaku dengan
sebenar-benar pengakuan bahawa Tiada lain yang lebih besar selain Allah dan
pengakuan bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah. Ini bererti tumpuan
pengabdian hakiki ialah Allah dan BUKANNYA harta-benda dunia. Jika kekayaan
dunia dijadikan asas hidup berertilah kita telah membesarkan dunia daripada
Allah sendiri; atau dalam kata-kata lain kita bertuhankan harta bukannya Allah.
Di sinilah terpesongnya aqidah orang-orang kebendaan.Sangat beruntunglah mereka
yang mempunyai harta kekayaan yang menjadikannya sebagai modal untuk akhirat.
Wang ringgit dipertaruhkan sebagai saham akhirat dengan bersedekah, mendirikan
masjid, membantu fakir miskin dan anak yatim, menyelesaikan masalah dan
keperluan jiran dan masyarakat sekeliling. Mereka inilah yang berjaya menukar
harta menjadikan sebagai pahala atau membeli akhirat dengan dunia.
No comments:
Post a Comment