Sedar tidak sedar telah tiba kembali Ramadhan Al-Mubarakh.
Binalah bergunung-gunung azam kerana ianya tidak merugikan. Dan cadangkanlah
ruang dan peluang untuk diri sendiri bersama-sama Allah, kerana ianya
melazatkan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang penuh pengampunan. Bulan
yang merantai dan membelengu iblis. Tetapi membebas dan melepaskan umat manusia
dari azab dan siksa. Marilah kita besama-sama memakmurkannya dengan
memperbanyakkan amal ibadat. Dan murahkanlah hati untuk memberi kepada yang
lain. Serta sambunglah ikatan silaturahim yang renggang dan terputus itu.
Bukan bermakna Ramadhan ialah bulan mengerjakan kebaikan, dan
bulan-bulan lain itu bulan mengerjakan kemaksiatan. Tetapi Ramadhan adalah
bulan yang mana penambahan amal kebaikan itu sangat menguntungkan. Malah
keuntungannya berlipat kali ganda melebihi kepatutan.Ramadhan ini juga ibarat
medan bursa saham. Yang mana saham yang dijual didalamnya telah dijamin
keuntungan yang berganda-ganda. Teragak-agak lagikah kita untuk melipat
gandakan perlaburan kita didalam bursa saham yang telah dijamin ini. Dan yang
menjaminnya adalah Allah sendiri.
Dan sesungguhnya Ramadhan itu adalah bulan untuk melatih diri
menjadi lebih cermat didalam setiap
perbuatan. Bulan yang menahan lidah dari perkataan yang sia-sia dan merosakkan.
Bulan yang memelihara mata dari pemandangan yang jelek dan menjijikkan. Bulan
yang menahan telinga dari halwa yang mengkhayalkan. Dan bulan yang menahan hati
dari niat yang serong. Peliharalah jasmani dan rohani kita. Kerana itu adalah
sebaik-baik perlaburan dibulan ini.
No comments:
Post a Comment