Setiap hari sebenarnya adalah bonus dalam kehidupan yang singkat
ini. Saban hari kita terdengar dan melihat di dada akhbar dan TV berita-berita
kematian. Di musim raya yang akan tiba ini, kematian disebabkan kemalangan paling kerap kita dengari.
Setiap kali mendengar berita sebegini, hati ini sentiasa tergusar resah dan
gelisah. Terfikir sejenak, mereka ini
dah sampai masa menghadap Tuhan, samada bersedia atau tidak, ajal
mereka sudah sampai yang mana tidak akan ditunda sesaat ke hadapan atau
kebelakang! Namun setakat menggusarkan hati tidak mencukupi jika tidak
disusuli amalan yang sepatutnya dilakukan sebagai persediaan untuk mati.
Kekadang kita rasakan kesibukan kita dengan dunia sering melalaikan
diri ini. Sakaratul maut adalah satu pertarungan yang dahsyat. Setiap
orang pasti akan melaluinya kerana Allah telah menetapkan kematian bagi setiap
yang bernyawa. Perumpamaan kematian itu seperti yang diberitahu oleh Kaab
kepada Umar Al- Khattab. Ia bagaikan seorang lelaki yang dipukul dengan pokok
bidara. Setiap duri itu masuk dan menusuk setiap urat saraf. Apabila pokok itu
ditarik dengan kuat, setiap duri yang melekat pada urat saraf itu akan ikut
tercabut bersamanya.MasyaAllah sakitnya tidak terkata,suara tenggelam,
tidak boleh terkeluar untuk menjerit kerana terlalu sakit!
Namun demikian, walaupun Allah SWT telah memberikan peringatan demi
peringatan akan musibah besar ini, sungguh ramai umat manusia yang lalai, leka
dan terbuai dengan kenikmatan duniawi! Walaupun saban hari mendengar malah
mungkin ada yang menyaksikan kematian di depan mata, namun jiwanya masih belum
terkesan dengan hakikat mati ini. Hanya setelah berlakunya kematian pada diri
yang akan menyedarkannya kelak. Pada ketika itu nasi sudah menjadi bubur! Tidak
mungkin kembali semula kedunia untuk menebus kembali segala yang dilalai dan
dilekakan! Disaat kematian kita, segalanya akan tersingkap
amalan-amalan kita sama ada baik atau jahat, semuanya akan dipaparkan dihadapan
mata kita, malah kita juga akan mengetahui kemanakah kita akan dicampakkan sama
ada ke syurga atau neraka!
Hidup ini bukanlah untuk makan-makan, bermain, mengikuti hawa nafsu
syahwat, menikmati hiburan-hiburan yang menggoda, melakukan perbuatan-perbuatan
keji, duduk lepak membuang masa, mengumpat keji keaiban orang. Kehidupan
sebegini adalah satu kehidupan yang kosong, hampa tidak bermakna, angan-angan
kosong , tidak memberi manfaat sedikit pun malah mendatangkan kesengsaraan dan
penyesalan yang luar biasa kepada sesiapa yang melakukannya! Sama-samalah kita
renungi kata-kata Saidina Ali ra. yang menyentuh kalbu kerana ia keluar dari
hati yang suci dan ikhlas kerana Allah SWT.
" Dunia pasti ditinggalkan pergi sedangkan akhirat sudah
siap menanti. Oleh itu jadilah kamu sebagai anak-anak akhirat, dan
janganlah kamu menjadi anak-anak dunia. Hari ini adalah hari beramal tanpa
hisab sedangkan esok (hari akhirat) adalah hari hisab bukannya hari
beramal."
No comments:
Post a Comment