Monday, 2 March 2015

BERTERIMA KASIH DAN MOHON MAAF

Perasan atau tidak, dunia hari ini semakin pantas bergerak dan kadangkala kita terlepas dari kawalan dan hanyut buat seketika sebelum terdampar dan kembali kepada kehidupan itu semula. Kehidupan hari ini menjadikan semua manusia perlu hidup pantas, tangkas, cekap, cepat dan pelbagai lagi istilah yang sesuai. Ketangkasan dan kecepatan ini mengundang kepada kurang prihatinnya manusia terhadap hubungan sesama mereka. Bayangkan jika kita bekerja di kilang pembotolan, perlu cepat dan cekap untuk mengelakkan ia pecah atau rosak, maka kita tidak punya waktu untuk bicara bersama rakan disebelah pun. Inilah dunia kita hari ini, jika dahulu sempat kita menjenguk jiran tetangga, sanak saudara, tapi kini hanya bertemu apabila tiba hari raya, kematian atau kenduri kesyukuran.


Kehidupan sebegini mematikan jiwa serta sifat insan dalam diri bahkan ihsan itu pula semakin menipis. Apabila ihsan menipis, sifat kejiwaan insan itu mati, ia akan mematikan sekali dua perkara yakni rasa syukur dan kerendahan hati. Syukur kepada Allah dengan puji-pujian kita kepada Nya, alhamdulillah. Ungkapan ini kita biasa dengar, namun malangnya ia tidak datang dengan ucapan terima kasih. Manusia perlu bersyukur, dan mereka yang bersyukur mesti banyak mengucapkan terima kasih kepada makhluk Nya. Apabila syukur kepada Allah, maka berterima kasihlah kepada sesama manusia kerana ia nilai keinsanan yang tinggi yang merupakan kesan dari rasa syukur kepada Allah s.w.t.. Jiwa penuh kesyukuran ini akan dipenuhi dengan ihsan kerana yakin pada setiap sesuatu itu pasti, atas perintah, perancangan dan perjalanan yang telah Allah tentukan. 




Kerendahan hati manusia terletak pada lidahnya dan salah satunya adalah kata-kata memohon maaf. Hari ini, kebanyakan manusia sudah semakin sukar memohon maaf bahkan di negara kita, memohon maaf sudah menjadi aktiviti bermusim iaitu pada hari raya aidilfitri. Jiwa yang sukar memohon maaf akan sukar juga memaafkan orang lain dan kadangkala ia membawa kepada keburukan hubungan sesama manusia. Ajarkan diri kita untuk berterima kasih dan memohon maaf setiap hari dengan sesiapa sahaja apatah lagi mereka yang dekat dengan kita. Dua sifat ini membentuk keinsanan dalam diri yang mampu menggerakkan diri untuk berubah ke arah yang lebih baik. Pastikan budaya berterima kasih dan bermaafan menjadi budaya kehidupan harian. Semoga ia mampu melahirkan lebih ramai insan ada ihsan.

BERLAPANG DADA MENERIMA TEGURAN

Setelah bertahun-tahun melalui pelbagai pengalaman dalam dunia sukarelawan dan kerja-kerja kemasyarakatan, jarang sekali dapat ditemui seorang manusia yang gemar mendengar kritikan dan teguran dari orang lain. Apatah lagi apabila ia datang dari budak hingusan yang dianggap jauh lebih muda dan kurang makan garam dari diri kita. Pepatah Cina ada menyatakan, mereka yang sentiasa memuji itu adalah musuh kamu dan yang sentiasa mengkritik dan menegur itulah teman yang sebenar. Persepsi kita terhadapa kritikan dan teguran adalah terlalu negatif. Sehinggakan, kita menutup telinga kita daripada mendengar apa yang benar, dan kita hanya suak mendengar puji-pujian dan kemasyhuran diri sendiri. Ia amat berbahaya dalam urusan harian kita.


Secara tidak langsung, kita sebenarnya mendedahkan diri kita untuk kesalahan dan dosa-dosa yang lain seperti menghina, mengumpat, serta kadangkala menyebarkan fitnah dan membuat tuduhan melulu.Antara kewajipan seorang Muslim kepada Muslim yang lain adalah apabila mereka meminta nasihat, maka wajiblah kita untuk memberikan nasihat. Itu menggambarkan betapa keperluan untuk mendengar kritikan adalah penting dan mampu melahirkan seseorang yang berjiwa besar dan berfikiran terbuka. Kehidupan ini penuh dengan teguran yang disampaikan oleh Allah s.w.t. sendiri kepada manusia. Apabila jiwa ini kecil, pemikiran juga sempit, akhirnya, teguran-teguran dari Allah s.w.t. hanya berlalu secara sia-sia dan tidak dapat dilihat oleh mata hati kita. Ketika itu, akan matilah hati kita. 




Terdapat beberapa cara untuk kita melatih diri untuk sentiasa berlapang dada dalam menerima sebarang kritikan. Pertama, rinduilah kritikan dan nasihat tersebut. Sentiasalah mencari cara untuk memperbetulkan diri kita. Buangkan anggapan bahawa diri kita yang terbaik dan sentiasa ingat bahawa hidup ini mesti terus belajar. Kedua, cari dan bertanyalah. Jadikanlah bertanya serta meminta nasihat ini sebagai satu kebiasaan. Wajib bagi seorang Muslim untuk memberikan nasihat kepada Muslim lain yang meminta nasihat. Ketiga, nikmati kritikan. Apabila menerima teguran, senyum dan fikirkan apa yang baik disebalik apa sahaja teguran yang diberikan. Ingat selalu, peringatan itu bukan hanya datang dari seorang manusia, tetapi adalah dari Allah s.w.t. yang sentiasa kasih dan sayang kepada kita.


Keempat, syukurilah. Maka, bersyukurlah apabila masih ada orang yang mahu menegur kita. Jika tidak, maka mungkin Allah s.w.t. sengaja membiarkan kita membuat dosa dan menyimpan kemurkaan-Nya kepada kita. Sebaliknya, apabila ditegur, itu tanda Allah s.w.t. menyimpan kasih sayang-Nya untuk kita. Kelima, menilai diri. Berlaku jujurlah dengan diri sendiri. Setiap kelemahan perlu diakui, itu bukan tanda kalah, tetapi mengalah. Mengalah dengan keegoan diri yang tidak mahu diperbaiki. Keenam, memperbaiki diri. Kemudian, lakukanlah islah atau pembaikan. Ini proses penting yang membolehkan kita menjadi orang yang beruntung, hari ini lebih baik dari semalam. Terakhir,membalas budi. Ucapkanlah terima kasih kepada yang menegur dan sentiasalah memberikan hadiah kepada mereka yang kerapkali menegur kita. Berfikirlah positif. Mereka pasti ingin melihat kita lebih baik atau Allah s.w.t. pasti memberikan pendidikan yang terbaik untuk kita. Pecayalah dan jangan berputus asa dengan Allah s.w.t. 

KE MANA HALA TUJU REMAJA KINI ?

Ke mana hendak kita pimpin remaja kita pada hari ini? Fikiran, jiwa, rasa, tingkahlaku sudah tiada gambaran ketimuran, melayu apatah lagi Muslim. Keadaan mereka semakin meruncing dan perubahan ini harus menjadi hidangan perbincangan meja bulat tentang siapa mereka 10 tahun dari sekarang. Pendedahan cerita, kisah mereka ini di dada akhbar, tayangan filem, drama bukan memberikan kesedaran, tetapi itulah realiti yang digambarkan 1 dari 10 kisah benar yang telah berlaku mungkin. Jika kerosakan ini dahulunya disorok-sorokkan, dan hari ini ia sudah timbul ke permukaan kerana tak dapat disorokkan lagi.


Remaja hari ini perlukan contoh dan tauladan dari orang dewasa di sekeliling mereka. Tolonglah buat ibu dan ayah, sediakan contoh yang baik buat mereka. Jadilah manusia yang bertanggungjawab membina kehidupan mereka. Sekiranya sampai ajal ibu dan ayah, anak sudah bersedia berdikari dan dapat memudahkan urusan kita selepas kematian. Anak adalah amanah Allah bukan bebanan, bukan tempat untuk dibanggakan, bukan untuk sekadar membuktikan kita ibu dan ayah, mereka adalah bekalan kita bila menghadap Allah s.w.t.. 




Kerosakan yang berlaku juga adalah akibat dari salah ajar kita kepada generasi muda. Kurang prihatin, kurang kasih sayang kerana kesibukan kita semua mencari harta dunia yang sementara. Sibuk mengikut kemajuan dan teknologi, sehingga lupa anak atau adik yang membesar dan berdikari di dalam rumah sendiri. Akhirnya hidup mereka lebih tertumpu kepada dunia yang mereka diami hari ini. Jom kita bantu generasi masa depan kita dengan membangunkan mereka semula. Kembali kepada asas kehidupan yang sebenar iaitu hidup untuk memberi kehidupan kepada orang lain juga.



Jika terlihat anak-anak muda ini, jangan terus memarahi mereka sebaliknya senyumlah sebagai sedekah yang paling mudah untuk kita buat. Berikan salam dan berjenakalah dengan mereka, kerana hari ini, kita terlalu serius dengan mereka. Jika berpeluang tegurlah, dengan cara yang tidak memalukan. Bawa berbincang jika ada masalah dan bantu mereka jika perlu. Hidup bukan perkara yang mudah kerana ada banyak amanahnya. Tetapi dengan hidup mudah untuk kita berbakti dan membuat kebaikan kepada orang lain. Maka hiduplah dalam bekerja, berjiran, berkawan, bermain dan apa sahaja. Kerana hidup insan itu dengan ihsan. 

Sunday, 1 February 2015

ISLAM : MELIPUTI KEHIDUPAN DUNIA AKHIRAT

Islam adalah agama yang maha baik dan maha benar daripada Allah. Ia diturunkan kepada manusia bagi maksud untuk dijadikan panduan mereka dalam mentadbir hal ehwal dunia ini, iaitu langit dan bumi dengan segala isi dan kandungannya, termasuk diri mereka sendiri.Tetapi masalah yang dihadapi oleh umat Islam hari ini ialah mengapa dan kenapa mereka yang menganut agama yang benar dan baik itu merupakan golongan yang paling mundur dan terkebelakang, bahkan paling hina dan paling malang di akhir-akhir ini. Apakah kerana bilangan mereka sedikit?  Apakah kerana negara-negara mereka miskin? Apakah golongan lelaki mereka pondan semuanya? Tidak! Apakah wanita-wanita mereka mandul semuanya? Juga tidak. Mengapa islam dilihat semakin menyimpang jauh ? Sedangkan seribu tahun yang lampau islam lah agama keadilan,agama yang dipandang mulia sejahtera. Namun hari ini islam diperkotak kattikkan, dipersendakan malah yang lebih teruk ialah dikecam sebagai agama pengganas. 




Pelbagai jawapan yang tidak serupa telah diberi oleh banyak pihak yang berbeza. Rata-rata jawapan itu menyalahkan orang lain saja. Mereka berkata kerana Baratlah maka umat Islam lemah. Kerana sekularismelah yang memundurkan pemikiran Islam. Kerana Yahudi dan Amerika yang menjahanamkan negara-negara Islam dan sebagainya.Mungkin betul jawapan-jawapan yang berkenaan, tetapi faktor yang lebih besar daripada itu semua adalah berpunca daripada umat Islam sendiri. Mereka salah faham dan silap langkah dalam beramal dengan ajaran-ajaran Islam yang sebenar.Mereka tidak dapat memahami bahawa Islam bukanlah cuma sebuah agama yang hanya mengajar dan mendidik penganut-penganutnya cara-cara sembahyang, puasa, mengerjakan haji dan lain-lain tuntutan fardu ain. Atau menggalak umatnya supaya mengasingkan diri di masjid-masjid atau bertapa di tempat-tempat yang jauh daripada orang ramai dengan pakaian yang serebeh dan selekeh. 




Tetapi sesungguhnya Islam itu adalah agama yang mengajar dan mendidik manusia bukan saja hal-hal yang berhubung dengan soal keakhiratan tetapi juga yang bersangkutan dengan cara-cara mentadbir dunia yang melibatkan bidang-bidang politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.Islam mahu supaya umatnya merupakan golongan yang kuat fizikal dan mental dalam menghadapi tentangan zamannya di samping kekuatan iman dan takwa juga ketinggian akhlak dan moral.Bertolak daripada pengajaran dan pendidikan seumpama inilah maka umat Islam yang pada awalnya merupakan kabilah kecil dari padang pasir yang keruntang di tengah Semenanjung Tanah Arab telah berjaya menguasai hampir 80 peratus dunia dalam masa yang amat singkat. Kembali bermuhasabah tingkatkan jati diri perkukuhkan akidah dan dalam masa yang sama sentiasalah memohon keampunan dari Allah SWT. Pohonlah segala kekuatan dan kudrat pada Nya. Sesungguhnya segala kurniaan hanyalah datang dari Nya. Kembalilah kepada islam yang sebenar. Jadikanlah islam itu sebagai prinsip dan tidak menjadikan islam sebagai alat kepentingan diri.

ROHINGNYA KAUM YANG DI TINDAS

Nama ini sangat asing pada kita berbanding Palestin.Tanyalah pada sesiapapun waimma yang bertaraf Profesor juga akan berkerut dahi bila ditanya tentang "Rohingya".Tidak seperti kisah Palestin ataupun Selatan Thai yang sudah begitu sinonim dengan kita terutama masyarakat Islam.Kedua tempat ini akan membuatkan kita pantas respon dengan semaksimum mungkin,pelancaran demo,penyerahan memo dan akhirnya membawa kepada kutipan derma.Rohingya setaraf dengan Palestin dan Selatan Thai,bahkan ia lebih tragik lagi! Rohingya bukan nama sebuah negara atau daerah yang dicerobohi tetapi ianya adalah nama sebuah etnik ataupun kaum yang dicabul,diceroboh dan ditindas hak asasi kemanusiaannya.Walaupun ia tinggal disebuah negara yang mempunyai seorang pejuang hak asasi manusia dan juga pemegang Anugerah Nobel Keamanan,namun nasib kaum ini tak pernah dibela! 



Dalam kebanyakkan kes penindasan kaum,seringkali akan dilaungkan diatas nama agama.Dalam situasi dunia sekarang,kita semestinya tidak memikirkan slogan keagamaan itu akan menjadi loceng kecemasan yang sangat berguna.Ia hanya akan menyempitkan lagi isu sebenar! Lihat dalam isu Palestin dan Selatan Thai,pembantaian masih terus berlaku.Kaitan slogan agama ini hanya akan menghangatkan lagi situasi yang sedang panas.Pihak yang tidak seagama akan mula merasakan bahawa itu adalah suatu isu penganut agama lain dan biarlah mereka selesaikan sendiri.Dan harus diingat bahwa disatu pihak yang kebetulan seagama atau sealiran dengan puak penindas mungkin akan beri kerjasama secara langsung untuk terus menekan dalam misi penghapusan etnik! 




Kita harus bertindak lebih rasional dan berhikmah. Janganlah kita jadi seperti pemuka politik Myanmar yang kononnya berjuang untuk keadilan tetapi membisu bila dihadap dengan kes di negaranya sendiri.Isu ini adalah isu semua kaum dan agama,tidak ada sesiapa yang berkecuali!Penindasan adalah satu hal yang paling keji di muka bumi.Dengan mengambil pendekatan kebersamaan dalam semua hal,kita amat yakin ianya pasti dapat diselesaikan.Rakyat Palestin dan Selatan Thai atau dimana-mana muka bumi ini sedang mengharapkan dunia membantu mereka untuk menghentikan kesengsaraan ini.Sebaiknya mari kita seru penyelesaian diatas nama keadilan!Atas nama peri kemanusiaan! Sepertimana yang ditegaskan di dalam setiap agama.Tidak akan selesai isu penindasan ini jika hanya satu tangan yang mengangkat,sebaiknya kita usahakan agar kedua belah tangan masyarakat dunia terangkat bagi menyelamat sekaligus  menghentikan sikap penindasan bangsat ini!Rohingya perlukan kita semua,semua masyarakat dan agama yang berpegang teguh pada ajaran bahawa perlunya memperjuangkan keadilan dan mengharamkan pertumpahan darah!

Saturday, 31 January 2015

LIDAH AMANAH DARI ALLAH

Biasa kita dengar ungkapan “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Itulah perumapamaan Melayu yang banyak mendidik bangsa kita pada masa dahulu agar berhati-hati sewaktu berbicara. Oleh sebab itu, kita melihat orang Melayu terkenal dengan sifat bersopan santun.Walau bagaimanapun, terdapat juga sebilangan orang Melayu yang tidak sayang mulut. Mereka bukan sahaja “cakap lepas” sehingga menyinggung hati jiran tetangga, malah suka membawa cerita, mengumpat dan menabur fitnah. Mereka bersikap sebegini supaya dapat memberi masalah pada pihak lawan.Kita dapat melihat mereka seperti tidak mendapat apa-apa kesan negatif, sebaliknya mereka boleh bergembira atas penderitaan orang lain. Kalau begitu halnya, perumpamaan itu tidak benar-benar mendidik orang Melayu. Atau boleh jadi, mesej perumpamaan itu tidak merujuk kepada golongan di atas walaupun zahirnya perumpamaan tersebut menunjukkan seolah-olah kedua-dua belah pihak harus berasa bahananya.


Sedarlah bahawa mulut amanah Allah SWT. Jika kita merujuk kepada ilmu tasawwuf, “mulut” ini disebut “lidah”. Itulah hakikatnya. Mulut selain menjadi saluran untuk makan dan minum, ia juga menjadi medium komunikasi. Maka sebab itu, mulut pada hari akhirat akan menjadi saksi atas apa yang dilakukan oleh tuannya. Ketika itu manusia tidak boleh menafikannya lagi.Lidah merupakan salah satu daripada tujuh anggota manusia yang Allah SWT amanahkan kepadanya untuk dimanfaatkan dan dijaga sebaiknya. Jadi, semua anggota itu seharusnya dignakan mengikut kehendak Allah SWT. Mulut atau lidah sebagai contoh diamanahkan supaya bercakap perkara yang baik, membaca al-Quran dan menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Tetapi realitinya, anggota tersebut sering disalahgunakan oleh manusia, lalu menyebabkan hubungan sesama manusia rosak binasa. Percayalah apabila manusia tidak menjaga amanah, mulut itu akan menjadi alat pemusnah kebahagiaan masyarakat. 





Oleh sebab  itu, dalam ilmu tasawwuf disebutkan, bagi mengimbangi tujuh anggota tersebut, Allah SWT menciptakan tujuh buah pintu neraka. Maknanya, bagi setiap satu bahagian anggota itu, ada neraka yang dikhususkan untuknya. Ini termasuklah neraka untuk mereka yang tidak menjaga amanah lidah. Sungguhpun Allah SWT telah menyediakan neraka khas bagi dosa lidah, masih ramai umat Islam yang tidak pandai menjaga lidah. Seolah-olah mereka telah merelakan diri untuk masuk ke dalam neraka tersebut. Mengapakah ini berlaku?Apakah mereka tidak takut kepada neraka?Kita mungkin tidak hairan dengan ahli politik yang setiap patah ucapannya boleh menyakitkan hati parti lawan. Ucapan yang berbentuk fitnah atau umpatan sudah menjadi asam garam dunia politik. Mungkin antara sebabnya, sudah tidak fikir akan dosa dan pahala lagi. Malah, boleh jadi mereka tidak takut akan neraka atas sangkaan peluang untuk bertaubat masih ada.



Demikian juga sifat dua orang insan yang berebut kuasa dan sebagainya. Kata-mengata antara satu sama lain sudah menjadi lumrah. Persoalannya, adakah dengan mengata orang, pihak satu lagi boleh insaf dan bertaubat? Tidak sama sekali. Jadi apa faedahnya berbuat begitu? Tidak gerunkah kita andai nanti dimasukkan ke dalam neraka bahana lidah ini.Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.Ya Allah, peliharalah lidah kami daripada kata-kata keji, dusta, nista, umpat, fitnah, adu domba dan selamatkan kami daripada lidah para penabur fitnah. Ya Allah, jauhkanlah lidah kami daripada menyakiti umat manusia, dan jadikanlah ia kepada kami sebagai penyelamat daripada api neraka, dan jadikanlah perkataan kami sebagai jambatan menuju ke syurga. Ya Allah, ampunkanlah kami, dan golongkanlah kami dalam mereka yang berkata benar. 

Tuesday, 20 January 2015

PERJALANAN MENUJU MU

Ku berjalan kesepian meniti lorong-lorong kehidupan
Bertemankan bayu kasihNya yang menghembus perlahan
Ku mencari sinar suria agama dalam meraih teduh rahmatNya
Ku mencari sang pelangi iman untuk menerangi langkahku
Sebagai petunjuk dalam melalui simpang bahagia mahupun derita
Aku hanya insan biasa yang perlukan pergantungan dari Nya
Dia lah yang menakluk hati ku dan membolak-balikkanhati ini


Merentasi daerah fikiran mencari kematangan diri
Menerokai medan ilmu dalam menggapai kecemerlangan hakiki
Menyaksikan panorama dunia yang berbagai ciri keunikan
Sungguh indah alam ciptaanMu wahai Tuhan Yang Maha Indah
AlamMu dihiasi bunga-bunga yang sentiasa galak menguntum senyuman
Dihiasi gunung-ganang yang sentiasa gah memaksi hamparan bumi
Serta dihiasi lautan yang beralun lembut berdendang zikir syahdu padaMu 




Subhanallah, tiada yang lebih indah melainkan keindahanMu Ya Allah
Tetapi sayang hamparanMu itu telah dinodai oleh sejenis makhluk
Yang bernama manusia serta diiktiraf olehMu sebagai ‘Khalifah’
Terlalu banyak daripada mereka yang menjadi egois dan parasit
Berbanding yang berbudi mulia yang sentiasa redha denganMu
Mereka terpalit dengan hasutan liar fana yang menyesatkan


Ku terasa lelah mengekori arus pergolakan duniawi
Berhenti seketika di anjung sukma mencari nafas ketenangan
Cuba menjengah di balik sekeping jendela nurani
Aku terlalu asyik menghitung pada yang lain
Tanpaku sedar dimana letaknya tunjang diriku sendiri
Adakah dalam kebaikan ataupun sebaliknya
Masihkah ada ruang untuk ku singkap kembali
Tirai dosa yang telah usang menghiasi tembok qalbu 




Ya Allah ampunkanlah daku serta kami semua
Hembuskanlah bayu ketenangan mahabbahMu
Tetapkanlah hatiku agar terus istiqamah dalam kebaikan
Berikanlah petunjukMu pada yang lalai serta zalim
Lindungilah mereka yang lemah teranaiya
Aku mahukan kedamaian bertakhta di segenap jiwa


Sungguh hebat kanvas kembara hidup ini
Setiap apa yang berlaku terselit sejuta hikmah
Tamatnya sudah destinasi perjalananku kepadaMu
Perjalanan mencari identiti realiti menuju hakiki
Tiba saatnya ku mengadap mempersembah segala amalku
Sambutlah dingin rohku dengan hangat pelukan rahmatMu
Aku datang dengan sepenuh pengharapan kepadaMu Tuhan
Daripada Allah aku datang dan kepada Allah jua aku kembali