Tuesday, 3 March 2015

BENIH-BENIH SYURGA

Kehidupan ini sama seperti asap yang kelihatan hanya sebentar sahaja, lalu lenyap. Sesungguhnya manusia seperti nafas dan semuanya sia-sia. Ramai yang berharap untuk kehidupan ini dan mereka menganggap inilah 'kampung halaman' yang sebenar. Setiap hari mereka sibuk dengan urusan dunia, mencari duit, bekerja dan bersuka ria. Mereka lupa diri, bahawa saatnya akan tiba apabila segalanya berakhir dan kita akan kembali ke 'kampung halaman' yang hakiki, iaitu syurga atau neraka. Kehidupan juga penuh dengan penderitaan dan air mata. Oleh itu, sapulah air matamu dan lihatlah disekililingmu. Masih ramai insan yang belum dikurniakan nasib yang baik seperti diri kita. Mungkin kita merasakan berat ujian yang digalas dipundak ini, sehingga tak terjangkau dek kemampuan diri.


Namun, ingatlah! Jika kita merasakan diri kita ini lemah tak bermaya.  Jangan dilupa akan saudara-saudara kita yang masih berat ujiannya. Bagaimana mereka masih lagi tabah tersenyum menghadapi risiko kehidupan yang diberikan olehNya. Sesungguhnya Allah itu langsung tidak menzalimi kita dengan membalas dendam atas kesilapan yang seringkali kita ulangi. TETAPI setiap musibah, ujian dan juga dugaan yang diberikan adalah salah satu tanda bagaimana Allah membuktikan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya. Lantas menyeru dibenak fikiran kita bukti kasih sayang Allah? Benarkah? Benar. Sememangnya fitrah manusia mencari nilai ketuhanan apabila diri diuji dengan rintangan.




Bagaimana kita lihat para solafussoleh yang terdahulu mereka rata-ratannya dari golongan yang paling banyak diuji. Ini kerana, apabila hati kita sering diuji, maka kebergantungan kita kepada Allah semakin kuat berbanding dengan hati yang sering dibajai dengan kemewahan. Lihatlah perbandingan kehidupan antara kehidupan kita dengan saudara kita di Gaza, Syiria. Bagaimana mereka begitu yakin dengan pertolongan Allah berbanding kita yang hidup dalam keadaan aman dan damai. Oleh itu, jadikanlah segala ujian dan musibah yang menimpa kita inisebagai biji-biji benih yang tunasnya menghala pucuknya ke jalan syurga. Jadilah insan yang redha dalam menerima segala dugaan yang menimpa diri. Mungkin, diri ini masih belum lagi teruji dengan kata-kata sendiri. Namun, percayalah  bahawasnya ‘hanya insan istimewa’ sahaja akan menerima pentarbiyyahan secara terus dari Allah. Bersyukurkalah diatas kurniaan benih-benih syurga kerana itulah buktinya Allah bersama dan Dia tidak meninggalkan kita bersendirian.

WAHAI HATI NURANI

Wahai Hati
Bersabarlah dalam menanti,
Yakinlah janjiNya adalah pasti
Pada akhirnya kebahagiaanlah yang kelak kan diraih.


Wahai Jiwa
Tenanglah dalam lara,
Percayalah bahwa janji Nya adalah nyata,
Jangan pernah ragu dengan kehendak Nya.
DIA lebih tau mana yang terbaik untuk para hamba Nya 




Wahai Raga
Tetaplah istiqomah dalam asa,
Cinta yang suci sedang menguji keimanan kita,
 Seberapa kuat kita saat tertatih
Dan seberapa tegar kita disaat rapuh


Segala uji dan cubaan Nya tak pernah ada yang sia-sia,
Dibalik itu semua pasti ada hikmah dan barakahnya,
Bersabarlah untuk suatu keindahan,
Kebahagiaan itu pasti kan datang untukmu,
Disaat yang Indah di waktu yang tepat

PERKAHWINAN DI USIA MUDA : RELEVANKAH ?

Mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang, perkahwinan di usia yang muda bukanlah satu fenomena yang luar biasa, bahkan seharusnya menjadi kelaziman kepada generasi Y pada masa kini. Hakikatnya, perkahwinan adalah satu fitrah kejadian semulajadi manusia. Perkahwinan juga merupakan satu sunnah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Persoalannya bagaimanakah kita mampu melaksanakan sunnah ini di saat kita masih lagi remaja dan sedang belajar?? Persoalan demi persoalan yang timbul di benak pemikiran kita. Lantas, kita  merasakan topik ini cukup relevan dan hangat untuk dikongsikan bersama berdasarkan kondisi kita sekarang.


Setiap hari dan detik kita dihidangkan dengan berita yang melibatkan generasi muda yang muflis dan tercabut dari akar tradisi ketimuran dan juga ketingggian akhlak Islamiyyah yang diwarisi zaman berzaman.Kini, segalanya telah dibenamkan oleh budaya hedonistik yang tidak berfaedah. Mereka  telah dibelenggu dengan rantai-rantai kejahilan dan kegelapan.Justeru itu, perkahwinan di usia muda tersangatlah signifikan bagi mereka yang ingin melayarkan bahtera perasaan cinta mereka ke pelabuhan yang halal, iaitu alam berumahtangga. Ini kerana mukmin atau mukminah yang sejati  tidak suka memandang dan juga tidak suka dipandang kerana apa yang lebih utama adalah memohon petunjuk dariNya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan selaras dengan kehendak hati dan kewarasan akal.  




 Sebagaimana yang kita ketahui, Iman kita ini laksana air di lautan, kadang pasang kadang surut. Ketika pasang, dengan mudah kita meniti jalan Allah. Ketika sedang surut, kita jauh dari jalan Allah.Justeru itu, perkahwinan dalam kalangan generasi muda bukan sahaja mampu membendung gejala-gejala negatif bahkan melahirkan masyarakat yang sakinah di mana tidak  akan wujud lagi kes-kes jenayah seksual seperti pembuangan bayi, rogol, culik dan sebagainya.  Hal ini disebabkan oleh perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Kesimpulannya,  berkahwin di usia muda bukanlah membawa kepada satu masalah yang besar bagi golongan remaja yang masih lagi belajar dan belum bekerja. Berkahwin merupakan fitrah manusia dan sememangnya fitrah itu tidak akan terjadi sekiranya berlawanan dengan kehendak manusia. Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui tentang hal-hal hambaNya. 

SEMBOYAN RINDU BUAT BIDADARI

Sayup udara malam ini
Dingin perlahan menyapa tubuhku.
Sendiri dalam sepi sendiri dalam sunyi
Melewati dengan sebuah kerinduan
Mendambakan sebuah kehadiran
Hadirmu mengubat rinduku padamu


Mataku terkatung dibatas fajar.
Aku ingin terlelap mata ku sayu
Namun hadirnya bayangmu
Membuatku terus terjaga sepanjang malam.
Benak ku tak mampu menepismu.
Ia terus mengkhayalkannya 





Ingatakan ku liar tumbuh dalam setiap kenangan
Yang pernah kita lalui bersama.
Yang tak pernah ku lupa.
Yang telah mengalir dalam setiap butiran darahku
Dan menjadi setiap daging dari hatiku.


Bidadari, bagaimana mampu
Aku menghilangkanmu dari fikiranku.
Sedangkan engkau kini bagaikan nafasku.
Aku terasa hilang bila tanpamu.
Aku kesepian walaupun berada ditengah jalanan siang.





Kekasih, bilakah kita kan berjumpa
Bawa pulang kerinduanku yang lama menantimu.
Hilangkan sementara jarak yang memisahkan kita.
Ciptakan waktu untuk bersama.
Aku ingin melepas semua dahaga jiwaku.
Yang selama ini terpendam dalam benak hatiku.



Ya Rabb tuhan yang maha satu
Permudahkanlah segala urusan ini
Persatukanlah kami dalam rahmat Mu ini
Campakkan ketabahan dan kesabaran
Dalam meniti sebuah lorong kerinduan
Ya Allah, sesungguhnya semboyan rindu berkumandang 




ISLAM ITU SYUMUL

Islam adalah agama yang serba lengkap dan menyeluruh dalam pelbagai lapangan hidup iaitu aspek aqidah , syariah dan akhlak . Baginda Rasulullah ( s.a.w. ) telah menerima daripada Allah taala satu risalah lengkap tersebut melalui wahyu al Qur’an al Karim yang merupakan sumber rujukan utama Islam .Kemudian , Rasulullah ( s.a.w. ) diperintahkan untuk menyampaikannya kepada seluruh umat manusia di samping mempraktikkan ajaran-ajaran Islam yang terkandung di dalam al Quran itu . Akhirnya , Islam diwarisi secara turun temurun dari satu generasi kepada satu generasi yang lain sebagaimana asalnya tanpa sebarang keraguan dan syak wasangka.

Islam juga adalah satu agama yang memiliki unsur kekuatannya yang tersendiri dengan keunikan aqidah , ibadat dan juga akhlaknya di samping bercirikan syumul kerana ianya bersifat terbuka kepada seluruh umat manusia . Ini bermakna bahawa Islam bukanlah satu agama yang khusus kepada orang Arab sahaja atau agama kepada satu-satu umat tertentu , bukan juga agama kepada kasta-kasta tertentu , sebaliknya Islam adalah agama kemanusiaan sejagat tanpa mengira kaum dan warna kulit pada sepanjang zaman. 




Dengan erti kata lain , Islam telah menyeru sekalian manusia ke arah dasar persamaan dari segi kemanusiaan dan mereka semua sama-sama berganding bahu dan bertolak ansur dalam mendepani perjuangan hidup. Sebenarnya manusia adalah sama dari segi asal usul kejadiannya dan apa-apa perbezaan sesama manusia dari segi bangsanya , warna kulitnya dan sebagainya bukannya untuk menjuruskan ke arah pertelagahan dan permusuhan . Sebaliknya , ianya adalah sebagai satu jalan ke arah saling kenal mengenal , mencari keserasian dan tolong menolong antara satu sama lain .

Ada satu kaedah yang membezakan antara seseorang manusia dengan yang lain dari segi asal usul kejadiannya dan juga keistimewaan yang dikurniakan Allah iaitu istiqamah dalam hidupnya dan berusaha merebut keredhaan Allah ( s.w.t.). Inilah dia dasar Islam yang tidak mengenal perbezaan perkauman , asabiah kabilah , puak atau agama . Islam tidak mengiktiraf sebarang usaha penindasan terhadap saudaranya yang lain kerana semua manusia adalah sama taraf , yang berbeza cumalah iman yang bertapak dalam jiwa seseorang dan amal salih yang lahir melalui anggota tubuh badannya yang mana akhirnya akan mencipta kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat 

Monday, 2 March 2015

AMANAH DALAM PERSAHABATAN

Ramai yang membuat andaian bahawa persahabatan adalah bertunjangkan faktor kebersamaan dalam perbuatan, kesepakatan pemikiran serta pemahaman yang mantap dalam sesuatu tindakan. Apabila ada bentuk fikir ke arah ‘kalau kau boleh follow aku’ maka dialah kawan kita. Jika pandangan dan pemikirannya sama macam kita, maka itulah teman yang kita alu-alukan. Mudah sahaja buat kita hari ini menilai sesuatu persahabatan. Jauh nun di dalam sanubari kita sebagai manusia, kita telah disesatkan bahawa sesebuah persahabatan yang sebenar perlu punya amanah. Rasa tanggungjawab, prihatin serta mengambil berat soal kehidupan mereka.


Amanah adalah berkait rapat dengan kepercayaan. Apabila persahabatan perlu punya amanah, ini bermakna persahabatan perlukan kepercayaan. Apa makna sahabat jika kita tidak percaya kepada kawan kita itu bukan? Apabila tidak amanah, maka akan hilanglah kepercayaan, apabila tiada amanah itu maka tiadalah iman.Lawan kepada sifat amanah adalah khianat. Ia termasuk di dalam ciri-ciri kemunafikan. Oleh yang demikian, harus kita fikirkan bersama, adakah kita ini dikalangan manusia yang membina persahabatan atas dasar ketakwaan atau sekadar berusaha untuk memenangi hati manusia? 




Bagaimana persahabatan kita boleh terbina apabila kita sanggup membiarkan sahabat kita menunggu kita dalam satu-satu sesi pertemuan atau temujanji? Bagaimana kita boleh katakan bahawa persahabatan kita adalah atas dasar iman dan taqwa apabila setiap tingkah sahabat kita itu tidak kita tegur kesalahannya? Bagaimana kita istilahkan persahabatan apabila amanah sebagai seorang sahabat itu tidak kita laksanakan?  Sebagaimana pentingnya solat untuk agama Islam, pentingnya bersuci dalam mendirikan solat begitu jugalah pentingnya amanah dalam pembinaan iman. Maka usahakanlah mencari dan menjadi sahabat yang amanah. Antara garis panduan yang dapat kita usahakan adalah dengan mewujudkan sifat kasih sayang.



Hasil dari sifat kasih sayang itu menyebabkan seseorang itu akan terdorong untuk melakukan kebaikan yang sama terhadap sahabatnya.Maka, seharusnya kita juga perlu menjadi sahabat yang amanah kepada teman-teman yang lain. Antara tips untuk menunaikan amanah dengan baik adalah dengan solat secara berjemaah. Maka, tuntutan solat berjemaah ini akan mampu membebaskan diri kita dari sifat kemunafikan kerana khianat atau tidak amanah itu adalah salah satu sifat kemunafikan. Seorang sahabat yang sejati akan menjaga sahabatnya selagi ada upaya dan diperlakukan sebaiknya demi persahabatan atas dasar ketakwaan kepada Allah s.w.t. Oleh yang demikian, jika sekiranya kita sudah atau tertinggal amanah yang diberikan, maka perbanyakkanlah beristighfar serta jangan lupa untuk menjadi sahabat yang sentiasa memperingatkan orang lain tentang amanah mereka. 

TITIPAN DOA MENGHARAP

Sejenak ku merenung di luar jendela
Ku renung jauh meniti perjalanan hidup ini
Fikiran ku terkenang si dia yang jauh di sana
Namun tak pernah luput ingatan aku padanya
Ya Allah, jiwa ini meronta kerinduan pada si dia
Mencengkam rasa bungkam mendambakan kasih si dia

Ya Rabb..
Umat-Mu yang satu ini  begitu istimewa bagiku..
Meski dia tak bergelumangan harta
Meski dia tidak lah asal dari bagsawan mulia
Tetapi aku jatuh cinta padanya..
Meski aku tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini
Tetapi hatiku terpaut padanya 



Aku mencintaimu bukan kerana kehebatanmu..
Aku mencintaimu kerana tunduk dan patuh mu terhadap Tuhanmu
Aku mencintaimu kerana budi pekertimu
Aku mencintaimu kerana kelembutan hatimu
Aku mencintaimu kerana pengetahuanmu
Sungguh engkau adalah pencetus semangat inspirasiku…
Aku berharap engkau selalu ada dekat dengan ku,

Ku titipkan harapan dalam doa
Agar kau menjadi ratu bidadariku
Menjadi penghias surihatiku,
Memberiku semangat ketika aku berputus asa
Menghiburku ketika aku menangis
Mengingatku ketika aku mulai menjauh dari tuhan
Memberikan jawapan dari semua pertanyaanku..