Monday, 8 June 2015

KITA YANG SERING LALAI

Manusia sering keliru. Mereka hidup seolah-olah sedang mencari yang pasti dari selain Allah s.w.t.. Padahal, apa yang dicari itu, kalaupun memang sesuatu yang pasti, tetapi hanya pasti akan berpisah dengannya suatu hari nanti. Kehilangan itu bermula pada sebuah kehendak untuk mengekalkan apa yang tidak akan kekal sehingga mengabaikan yang Maha Kekal.Ada orang merasa puas kerana sekurang-kurangnya dia tidak macam orang lain. Kalau dia ingin berpuas hati dengan tahap dirinya, maka memadai dia mencari orang yang berada di bawah tahapnya.Sebab itulah, ada insan yang lalai masih boleh berkata: “Walaupun saya buat maksiat, tetapi saya juga solat. Ada orang langsung tak solat.” Agamanya adalah pada ukuran orang lain.Ada juga orang yang terkeliru dengan apa yang dicari, kemudian menganggap sekelilingnya sebagai yang keliru ketika berinteraksi dengannya. Ada orang yang tidak sanggup untuk berubah, lalu mengharapkan orang lain pun tidak berubah sepertinya.


Kalau ada orang yang berubah, dia akan mengatakan: “alah, semalam orang itu lebih buruk dari saya.” Adakah keburukan manusia semalam itu adalah cerminan hari ini-nya atau masa depannya, sedangkan yang lalai tidak pun mula melangkah menuju sebarang perubahan. Jutaan keburukan semalam bisa Allah s.w.t. langsaikan sekelip mata dengan keampunan, bagaimana itu tidak menjadi motivasi untuk kembali kepada Tuhan? Akhirnya, bukan hidup kita sebagai Tuhan untuk menilai agama orang lain, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk agama sendiri.Jangan jadikan kebaikan kita adalah pada kejahatan orang lain. Memang mudah melakukan kebaikan dengan mengukur keburukan orang lain sebagai definisi kebaikan. Seorang yang tidur walaupun tidak buat apa-apa kebaikan tetapi lebih baik daripada seorang yang mencuri. Tapi, takkan itu alasan untuk terus tidur tanpa melakukan tugas kehambaan? 




Hidup kita adalah tentang kita. Bahkan, hubungan kita kepada orang lain dan dengan orang lain adalah tentang kita, iaitu tentang kita menjadi hamba Allah s.w.t melalui mereka semua. Bukan tugas kita memasukkan sesiapa ke neraka dan tidak pula kita layak memasukkan sesiapa ke dalam syurga. Tetapi, kita diamanahkan untuk menguruskan hidup kita sebagaimana yang Allah s.w.t. kehendaki. Sekeliling kita adalah cara menyempurnakan diri kita, bukan sebab untuk merasa diri sempurna. Beza antara menyempurnakan diri kita (takmil) dengan merasa diri sempurna (kamal) adalah, asas menyempurnakan diri adalah kita merasa diri kita serba kekurangan dan perlu melakukan pembaikian diri dan terus menyempurnakan kekurangan diri dan tidak pernah berhenti menyempurnakannya. Ini kerana, tidak ada kesempurnaan yang tidak boleh disempurnakan lagi dalam diri seseorang insan.


Adapun orang yang menjadikan persekitaran sebagai sebab untuk merasa diri sempurna, maka dia akan membandingkan dengan mereka yang lebih buruk daripada dirinya, atau mencari kesalahan setiap manusia, lalu tidak melakukan apa-apa kerana merasakan dirinya sudah sempurna dan lebih banyak masa untuk menilai keburukan orang lain dan menghukum sekeliling. Memang semua orang ada kesalahan, sebagaimana semua orang ada kebaikan.Mengapa buang masa dengan keburukan orang untuk tidak melakukan perubahan diri, sedangkan boleh menjadikan kebaikan orang sebagai contoh ikutan untuk memperbaiki diri? Katanya, hidup di dunia cuma sekali. Adakah sekadar untuk tidak melakukan apa-apa, merasa puas dengan diri sendiri, mengejar kepuasan diri dan menilai manusia di sekeliling, lalu akhirnya mati? 




Semua orang berhak memberi pandangan. Tetapi, bukan semua perkara akan mengikut persepsi yang kita inginkan. Hakikat itu wujud sebelum kita diciptakan. Hakikat kita adalah makhluk yang diadakan daripada tiada tidak akan berubah setelah kita ada. Hakikat kita adalah milik Tuhan yang menciptakan kita tidak pernah berubah sekalipun kita rasa memiliki segala-gala yang kita inginkan. Adakah kita yang tidak pernah menciptakan apa-apa dalam kehidupan kita, layak memiliki apa yang diberi oleh Tuhan dalam kehidupan kita, tetapi kita tidak merasakan kelayakan Allah s.w.t untuk memiliki kita, sedangkan kita ini diciptaka oleh-Nya?



Kita boleh memilih untuk tidak mahu melihat Allah s.w.t. dalam kehidupan. Tetapi, dengan tidak mahu melihat Allah s.w.t., tidak menyebabkan Allah s.w.t tidak melihat kita, dalam kehidupan kita. Kita sangka kita lakukan apa yang betul, tetapi apa yang betul tidak pernah mengikut apa yang kita sangka. Kalau kita yang lalai menyangka, bahawa kelalaian itu adalah kefahaman terhadap kehidupan, mengapa kelalaian itu akhirnya terhenti dengan kematian? Apa gunanya kita faham “kehidupan” tanpa memahami kematian? Kehidupan duniawi semakin menjauhi kita sedang kematianlah yang semakin menghampiri kita. Apabila orang kata: “kubur masing-masing”, maka jawapannya: “maka sebab itulah nasihat ini diberikan wahai teman”. Jangan kelalaian semalam menjadi sebab untuk kelalaian esok. 

Friday, 5 June 2015

MENJELANG RAMADAN MUBARAK

Ramadhan telah diambang pintu, tanpa kita sedar, waktu berputar begitu cepat, kita telah berada di bulan Sya'ban, bulan yang menjadi bulan istimewa, selain bulan Ramadhan. Sekarang ini kita berada di bulan Sya’ban. Inilah masanya kita menanam azam untuk kita merebut segala kelebihan Ramadhan yang dijanjikan Allah. Jika Ramadhan tahun lalu kita lalai dan leka sehingga tanpa disedari Ramadhan telahpun berlalu dan kita ketinggalan merebut kelebihannya, maka pada tahun ini kita diberi peluang sekali lagi oleh Allah. Maka janganlah sia-siakan peluang kali ini kerana entah-entah inilah Ramadhan terakhir buat kita. Mati datang tidak menentu. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa bersedia. Rebutlah peluang semasa hayat masih ada ini supaya di akhirat kita tidak menyesal dengan sesalan yang tiada gunanya lagi.


Bulan Ramadhan adalah bulan yang terlalu banyak kelebihannya. Di dalamnya terdapatnya malam lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan. Pada bulan tersebut Allah membuka pintu syurga, menutup pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan untuk memberi peluang kepada manusia membersihkan diri mereka sebersih-bersihnya. Amal-amal ibadah dan kebajikan digandakan Allah di mana yang sunat diberi pahala wajib fardhu dan yang fardhu menyamai 70 fardhu di bulan-bulan yang lain. Amat banyak kelebihan bulan Ramadhan yang kesemuanya insya Allah akan kita bentangkan satu persatu dalam risalah kecil ini.Setiap waktu-waktu yang kita lewati, masing-masing mempunyai kelebihan dan keutamaan yang berbeza, maka kita harus merebut di setiap kelebihan bulan sya’ban. 




Termasuklah menyiapkan diri menyambut kedatangan bulan suci Ramadhan yang memiliki banyak keutamaan. Kerana di dalam Ramadhan adalah bulan diwajibkannya berpuasa, dianjurkan memperbanyak amalan sunnah, serta diperintahkan memperbanyak membaca Al-Quran. Disamping itu, bulan Ramadhan adalah bulan pengendalian diri dari syahwat perut, hawa nafsu serta pengendalian anggota tubuh dari hal-hal yang dapat mengurangi nilai puasa.Oleh kerana itu, hendaknya kita menyambut bulan suci ini dengan suka cita dan penuh kerinduan, serta mempersiapkannya sebelum ramadhan tiba, sehingga dapat menumbuhkan motivasi semangat dalam menjalankan segala amal ibadah di bulan tersebut. Apakah yang harus kita bersiap sedia dalam rangka menyambut kedatangan tamu agung ini ?


Ada beberapa perkaral yang harus kita persiapkan agar kita mampu untuk mengisi bulan yang penuh berkah ini dengan kegiatan yang dapat menambah amalan kita ketika kita menghadap Allah SWT. Menjadi persiapan yang paling penting yang perlu kita laksanakan ialah persiapan keimanan. Ini adalah persiapan yang paling utama, kerana kekuatan iman lah yang akan menjadi motor penggerak segala bentuk ibadah kita sebelum, ketika dan pasca ramadhan. Apabila kita membaca sejarah Rasulullah saw dan para sahabatnya, betapa persiapan mereka dari sudut ini sangat luar biasa, iaitu dengan melaksanakan puasa sunnah di bulan sya'ban. Hal tersebut mereka lakukan dalam rangka mempersiapkan dan menyambut kedatangan bulan Ramadhan. 




Disamping itu, kita dianjurkan untuk memperbanyak istighfar dan memohon serta memberi maaf agar kedatangan bulan suci ini kita sambut dengan hati bersih dari segala bentuk dosa dan perselisihan, rasa dengki dan penyakit-penyakit hati yang lainnya. Dengan demikian, persiapan keimanan menjelang Ramadhan merupakan bahagian terpenting yang harus dilakukan setiap mukmin. Bahkan didalam surat Al-Baqarah ayat 183 dijelaskan, bahwa ibadah puasa Ramadhan diwajibkan kepada orang-orang yang beriman. Ini bermaksud, hanya orang-orang berimanlah yang memiliki kemampuan untuk menjalankan puasa Ramadhan dengan benar. Di samping itu, persiapan akhlak juga penting.Nabi mengingatkan kita bahawa begitu ramai umat Islam yang menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadhan hanya untuk menahan lapar dan dahaga saja, tanpa ada keistemewaan yang ia dapatkan disebalik pelaksanaan ibadah puasa tersebut.



Sebagaimana sabda Rasulullah saw, "Berapa banyak orang yang puasa, namun mereka tidak mendapatkan dari puasa mereka kecuali lapar dan dahaga" (HR.Thabrani, Ahmad dan Baihaqi). Agar puasa yang kita laksanakan berkualiti, maka persiapkanlah diri kita dengan akhlak Islam, seperti menjaga pandangan dari hal-hal yang dilarang dan menjaga lisan dari ucapan yang kotor. Intinya, kita harus menjaga seluruh anggota tubuh dari perbuatan maksiat. Inilah diantara persediaan dan persiapan yang harus kita laksanakan menjelang bulan Ramadan tetamu kita yang mulia ini. Semoga Allah SWT memanjangkan usia kita untuk bertemu dengan tetamu ini yang mempunyai seribu satu rahsia keistimewaannya. 

DIA BIDADARI SYURGAKU

Di keheningan pekat malam
Aku bersimpuh menghadapMu
Bersyukur aku kepada Mu
Kebahagiaan ini sungguh besar dan tak dapat aku lukiskan

Engkau hadirkan sesosok jiwa bening bercahaya
Yang setia mendampingiku mengharungi bahtera kehidupan
Amanah menjaga ikatan cinta, kala suka mahupun duka
Kehangatannya alirkan ketentraman penuhi damai di jiwa 



Hanya dia yang mampu memahami sikapku
Mengerti keinginanku
Sempurnakan segala kekuranganku
Tak menuntut melebihi kesanggupan ku

Disetiap detik yang berlalu
Bibir indahnya selalu menghadiahkan untaian doa
Mata cantiknya selalu memberiku sebuah ketenangan
Hatinya yang tulus memancarkan sebuah kesetiaan 




Dialah serikandi yang selalu membahagiakan
Dialah bidadari syurgaku serikandi hatiku
Bantu aku menjaga kesucian cintanya ya rabb
Kerana aku tak ingin kehilangan cintanya

KERAKUSAN MANUSIA MENGUNDANG BALA

Tiada siapa dapat menghalang kekuasaan Allah. Punca pelbagai bencana alam yang berlaku adalah disebabkan kemelut dan krisis yang sengaja diciptakan manusia itu sendiri. Sebahagian manusia hari ini seolah-olah hilang keyakinan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini. Disebabkan kerenah dan krisis yang berlaku di kalangan manusia itulah juga barangkali Allah sengaja menimpakan bencana ke atas segelintir hamba-Nya sebagai ujian dan takdir yang tidak dapat ditolak. Sebagai hamba yang sentiasa meyakini akan keadilan Tuhan, maka sudah sewajarnya kita sama-sama merenungi dan menghayati apa yang tersirat di sebalik ujian dan bala yang telah menimpa kita.


Sesungguhnya hanya dengan keyakinan, iltizam, istiqamah dan keinsafan yang mendalam saja akan membolehkan kita mencari kekuatan dalam diri bagi mengimarahkan bumi Allah dengan perbuatan yang diredai kerana kita hanyalah makhluk Allah yang dipinjamkan sementara untuk menetap di alam fana ini.Setiap apa juga kerakusan dan keterlanjuran yang berlaku bukanlah disebabkan pihak tertentu saja, ia mungkin disebabkan rentetan peristiwa yang berpanjangan akibat dari keegoan manusia itu sendiri untuk menguasai muka bumi ini secara total dan sering menganggap orang lain tidak ubah seperti hamba.Tanpa sikap toleransi dan saling faham memahami, tentu saja pelbagai kejadian negatif akan cepat mudah meletus. 




Apabila tercetusnya pertelingkahan, permusuhan dan dendam, sudah pasti akan meletuslah perbalahan yang akhirnya hanya memusnahkan sebahagian besar makhluk di muka bumi.  Berdasarkan peringatan dari Allah kepada kita ini, Allah berhak untuk menurunkan apa juga ujian ke atas hamba-Nya yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya. Bahkan melakukan perbuatan yang sentiasa mengundang kemurkaan Allah.Ada waktunya Allah hanya menurunkan malapetaka kecil. Ia adalah amaran daripada Allah agar manusia segera menghentikan daripada berbuat sesuatu yang boleh mengundang kemarahan-Nya.



Tetapi, apabila datang bala yang lebih besar, maka ia bukan lagi sebagai ingatan dan amaran, sebaliknya adalah bencana yang sengaja diturunkan Allah untuk memberi pembalasan di atas kerakusan manusia.Lebih malang, apabila berlaku bencana Allah, ramai manusia yang tidak berdosa akan turut menjadi korban. Di sinilah pentingnya konsep ‘berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Keengganan menunaikan tuntutan agama seperti mengeluarkan zakat,tidak melaksanakan solat dan sebagainya juga adalah salah satu hal yang boleh mengundang kemurkaan Allah. 

MANUSIA ADALAH PENYAMPAI BUKAN PENGHUKUM

Kehidupan sebagai seorang hamba Allah,pasti kita tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Kita percaya,ramai manusia pelaku maksiat di luar sana yang jauh di dalam hati mereka ingin bertaubat, ingin berubah menjadi lebih baik, cuma mereka tiada motivasi, tiada orang yang datang membantu mereka.Saat mereka rasa mereka hampir lemas dengan dosa, tiada orang yang datang menghulurkan tangan.Saat manusia-manusia soleh tanpa dosa yang nyata di sekeliling mereka, melabel mereka sebagai pendosa, ahli neraka, manusia yang dimurkai Allah, mereka rasa hilang harapan untuk hidup sebagai orang baik,rasa  hilang harapan dan putus asa untuk meraih rahmat Allah, untuk masuk syurga Allah.

Kita yakin, setiap manusia tidak kira apa jua agama di dunia ini, tidak kira dia penjenayah, ahli maksiat ataupun pendosa, apabila ditanya inginkah kamu masuk syurga? Sudah tentu mereka menjawab ya cuma mereka tidak mampu menterjemahkan keinginan mereka itu kepada perbuatan, cuma ramai antara mereka yang hilang harapan untuk berubah, tiada yang mendekati mereka menyampaikan kepada mereka betapa luasnya rahmat dan keampunan Allah, melampaui kemurkaanNya. 





Kita singkap kembali satu kisah yang masyhur yang berlaku pada zaman Nabi S.A.W, di mana sahabat Nabi, Maiz Bin Malik datang menemui Nabi kerana dia telah berzina dengan isteri orang. Maiz menemui Nabi dan mengaku dia telah melakukan perbuatan yang keji, dia ingin Nabi supaya menjalankan hudud keatasnya (rejam sampai mati) dan menyucikannya.Namun Nabi menyuruhnya pulang dan bertaubat pada Allah tanpa bertanya lanjut tentang perbuatan keji yang dilakukannya itu.Maiz tidak berpuas hati, dia benar-benar menyesal dan ingin bertaubat. Empat kali dia menemui Nabi dan jawapan Nabi tetap sama, pulang dan pohonlah taubat pada Allah.Di saat itu Nabi masih bersangka baik pada Maiz, Nabi cuba bertanya kepada Maiz, mungkin Maiz tidak sengaja, mungkin Maiz tidak waras ketika itu, mungkin juga Maiz tidak sampai berzina, mungkin Maiz cuma bersentuhan atau bercumbuan.


Akhirnya Nabi akur dan mengarahkan Maiz direjam dengan batu dan ketika direjam, Maiz melarikan diri kerana sakit namun dikejar sahabat dan direjam sehingga mati. Apabila berita ini sampai kepada Nabi, Nabi berdukacita kerana bagi Baginda adalah lagi baik dibiarkan Maiz melarikan diri, semoga dia benar-benar bertaubatbdan Nabi juga bersabda pada sahabat, adalah lagi baik untuk Maiz merahsiakan dosanya dan memohon taubat pada Allah, daripada dia mengadu pada Baginda. Begitulah Nabi junjungan kita memberikan contoh ikutan yang terbaik. Nabi mengajar manusia agar tidak menjadi penghukum kepada pendosa, Nabi sentiasa menyampaikan kepada manusia bahwa rahmat dan keampunan itu maha luas, tidak kira sebesar mana dosa yang kita lakukan. 




Nabi cuba sedaya upaya untuk tidak menghukum Maiz dan memberinya ruang untuk mohon taubat pada Allah, Nabi masih bersangka baik pada Maiz meskipun Maiz sendiri yang mengaku akan dosanya. Nabi tidak mahu ambil tahu tentang dosa Maiz kerana itu aibnya dan urusannya dengan Allah.Kita manusia tugas kita menyampaikan, dosa orang lain adalah antara dia dengan Allah. Bukan tugas kita untuk mengorek aib dan dosa orang lain. Indahnya Islam. Islam bukan seperti Kristian, dimana pendosa boleh hapuskan dosanya pada paderi di gereja, buka aibnya kepada paderi itu dan kemudian paderi itu yang memberi hukuman dan keampunan semudah abc. Ingatlah, Allah  menciptakan Syurga dan Neraka kedua-duanya untuk pendosa.Syurga untuk pendosa yang sempat bertaubat, manakala neraka untuk pendosa yang enggan dan tidak sempat bertaubat.

Monday, 25 May 2015

HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK BERMUSUHAN

Berjalanlah dengan penuh harapan walau hidup ini tidak selalu bahagia,sedekahkanlah satu senyuman walau dihati kita tidak lagi mampu bertahan,belajarlah memaafkan walau diri kita terluka,berhentilah memberi alasan walau ingin menyatakan kebenaran,hiduplah dalam iman walau hari dipenuhi dugaan dan berpeganglah kepada Allah walau DIA tidak kelihatan.Bukti kasihNYA,kita wujud didunia pinjaman ini.Ucaplah alhamdulillah dengan penuh kesyukuran.Terkadang hati ini terlalu sukar untuk memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih terngiang-ngiang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan. Wajah ‘orang-orang bersalah’ itu terasa begitu menjengkelkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga diri. Ah, apakah maruah ini terlalu murah untuk di sorong tarik dengan harga yang rendah? Dan cukup sakit, apabila mengenangkan ‘musuh-musuh’ itu tersenyum dengan kemenangan.

Namun, itu hanya bisik ‘hati besarkita’. Yang melantunkan suara ego dan marah. Kesat dan kesumat. Tetapi jauh dari dalam diri ada suara lain yang bergetar. ‘Hati kecil’ yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa.Maafkan, lupakan,cintai, sayangi.Berperang dengan mereka bererti berperang dengan diri sendiri. Begitu bisik hati kecil itu selalu.Pada sebuah persimpangan rasa, tiba-tiba hati disapa oleh sebuah firman:“Tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan.Nescaya engkau akan mendapati musuhmu akan menjadi seolah-olah saudara”. Wahai diri,api jangan dilawan dengan api. Nanti bakarannya akan membakar diri sendiri. Menyimpan dendam sama seperti membina sebuah gunung berapi di dalam hati. Semakin besar dendam itu, maka semakin sakit hati yang menanggungnya. Musuh-musuh kita terus ketawa, sedangkan kita sendiri menderita meneguk bisa.




Musim-musim terus berlalu sewajarnya mendewasakan kita. Pengalaman lampau sentiasa membuktikan bahawa permusuhan hanya akan memberi kepuasan sementara. Apabila ‘fatamorgana’ itu berlalu. Kita akan menjadi lebih dahaga daripada sebelumnya. Apakah akan kita terjah perangkap itu berkali-kali? Oh,tidak. Mukmin tidak akan terperosok dalam lubang yang sama dua kali. Begitu maksud sebuah sabda. Justeru? Cukup sekali! Biarlah musuh itu ketawa sepuas-puasnya. Beban rasa ini biarlah kita letakkan. Tidak akan kita bawa dalam safar kehidupan yang pendek ini. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Bermusuh dengan orang lain, sama seperti bermusuh dengan diri sendiri. Memaafkan orang lain,sama seperti memaafkan diri sendiri. Kata bijak pandai:“Apa yang kita berikan akan kita terima kembali”


Betapa leganya sekarang. Benarlah bahawa kebaikan itu tampak sukar untuk dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan terasa kemanisannya. Manakala kejahatan itu tampak mudah, indah dan manis. Namun apabila dilakukan, pasti ada kekesalan, kepahitan dan keresahan. Ketika ini terasa benar apa yang selalu didengar di dalam tazkirah bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Dendam itu dosa. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput datangnya ‘syurga’ yang fana, sebelum syurga yang baqa’. Kini hati tertanya-tanya lagI. Siapa kita, yang begitu sukar memaafkan? Tuan? Tuhan. Kita hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha Pemaaf, Maha Pengampun, siapa kita yang kerdil ini untuk terus berdendam? Ya ALLAH, ampunkan diri ini. Sengaja atau tanpa sengaja, sering atau kekadang,diri ini ‘terlanjur’ menumpang hak-MU. Andai hati kita di belenggu kepayahan dan keresahan, ubatilah ia dengan membaca Kalamullah, Sesungguhnya Kalamullah adalah sebaik ubat bagi mengubati hati. 


Tuesday, 12 May 2015

SIMBOLIK SEEKOR RAMA-RAMA

Ke mana perginya hari-hari gelap itu? Hilangnya tidak disedari. Lesapnya tidak mengesankan lagi. Alhamdulillah. Akhirnya, detik-detik hitam itu sudah berlalu.Pasti. Semua orang pastinya pernah diuji dengan pelbagai jenis dugaan. Semua tak terkecuali.Namun, tanda perhatian dan kasih sayang Allah pada hamba-hamba-Nya ini seringkali disalah tafsirkan sebagai kemusnahan, disalah ertikan sebagai perhentian terakhir hidup bagi mereka yang lemah akal dan jiwanya.Tidak, aku tidak akan sekali-kali menyalahkan mereka. Lumrah hidup selagi masih bernyawa,selagi itu kita akan diuji atas nama perjalanan sebuah kehidupan.Dulu, ada satu kisah tentang rama-rama. Sering dikisahkan cerita ini pada mereka yang dirundum kesedihan.Dengan kisah ini jualah, terselit sekelumit harapan untuk menyisip secebis kekuatan buat mereka yang lemah.

Memang, kita tidak mampu menyanyikan lagu 'Semangat Yang Hilang' untuk mengobarkan kembali semangat mereka, kita juga tidak dapat memberi ubat untuk menghilangkan ingatan-ingatan buruk itu, malah kita tidak akan mungkin punya kuasa ajaib untuk mengubah takdir jika bukan diri mereka sendiri yang ingin bangkit mengubah segalanya.Rama-rama sebenarnya cukup simbolik. Ia lambang perjuangan hidup. Ia terbang mengibarkan kepak warna-warninya yang indah dan memukau setiap mata yang memandang.Namun, dulunya rama-rama ini tak lebih dari seekor beluncas.Ya, seekor beluncas yang dibenci, dianggap perosak dan sering dijauhi. Namun, kemudian berubah menjadi kepompong sebelum bertransformasi menjadi seekor rama-rama yang cantik.Kisah rama-rama ini kisah benar, bukan hikayat dongeng penuh fantasi tetapi lebih kepada teori logik, sebuah cerita saintifik. 




Pernah, terdapat sekumpulan saintis sedang membuat kajian terhadap rama-rama. Mereka memerhatikan dengan teliti proses bagaimana seekor rama-rama keluar dari kepompongnya. Ia kelihatan seperti kepayahan, terseksa untuk mengeluarkan diri.Berjam-jam lamanya, rama-rama ini mencuba, mencuba, dan terus mencuba untuk keluar dari kepompong yang kecil itu.Akhirnya, ia berhasil. Rama-rama ini pun terbang ke sana dan ke mari seolah-olah meraikan kebebasannya.Saintis-saintis muda ini kemudian beralih kepada rama-rama yang lain.Mereka sepakat untuk membantu mengeluarkan rama-rama ini dari kepompongnya dengan menggunting kepompong tersebut.Rama-rama ini berhasil 'di'keluarkan dengan mudahnya.Namun, tahukah kamu apa yang terjadi dengan rama-rama ini?

Tidak, ia tidak mati. Ia masih hidup, ia meneruskan hidupnya dalam keadaan cacat seumur hidup.Ia tidak berupaya untuk terbang, tidak akan pernah mampu terbang seperti layaknya. Bukankah ini lebih malang?Ternyata, segala kesukaran serta kepayahan ketika berusaha keluar dari kepompong itulah yang memberi kekuatan bagi seekor rama-rama untuk terbang.Hakikatnya, apa yang tidak membunuh kita itulah yang melangsungkan kehidupan ini. Kita tidak akan kenal bahagia sebelum melalui sengsara, tidak kenal cinta sebelum faham erti benci, tidak menghargai senyuman tanpa air mata pedih.Kitaran hidup ini perlu didalami, jatuh bangunnya, turun naiknya, takdir dan karma. Tentu, kata–kata ini sering kita dengar di mana-mana, "setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya".Ini bukan kata-kata kosong yang palsu. Bukan. Tetapi, jangan pula tanyakan pada diri ini, bila dan bagaimana?Tetapi bersabarlah. Airmata tidak abadi, kering suatu masa nanti. Percayalah, keajaiban itu pasti ada.Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan setiap yang berlaku.