Saturday, 30 November 2013

ADA APA DENGAN UJIAN ??

Dugaan atau ujian seringkali menjengah manusia sebagai peringatan dari ilahi.Namun tidak semua dikalangan kita melihat ujian atau dugaan itu sebagai suatu peringatan dari Allah.Sebagai contoh,ada segelintir dikalangan masyarakat yang suka menjustifikasikan orang yang sakit ini sebagai orang yang tidak bersih,tidak pandai menjaga kesihatan dan sebagainya.Pandangan sebegini rupa ada benarnya namun apakah kita lupa bahawa disebalik musibah itu terselit sekelumit hikmah yang menuntut kita semua untuk berfikir.Bukan untuk menghukumnya semata-mata namun kita yang masih mempunyai kudrat yang sihat perlulah mengambil ibrah atau istifadhah dari apa yang telah berlaku.

Sebab itulah Allah sebut di dalam al quran yang bermaksud “ Demi masa. Sesungguhnya manusia itu sentiasa berada di dalam kerugian melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan sentiasa berpesan-pesan dalam kebaikan dengan kebenaran dan dengan sabar”.Kita seringkali menasihati masyarakat tentang apa-apa sahaja perkara dan dalam masa yang sama kita terlupa dan terleka akan diri kita juga sebagai insan yang lemah perlu akan nasihat dan pimpinan dari orang lain.

Sedarkah kita sebenarnya kita semua berada di dalam kerugian.Namun disebalik kerugian kita,Allah menghantar ujian dan dugaan bagi memperingati kita tentang fitrah kita sebagai seorang hamba.Terdapat segelitir dari masyarakat kita yang melihat skop ujian dan dugaan itu semata-mata dengan penyakit,musibah bencana alam dan sebagainya.Namun saya menyeru kepada semua masyarakat agar marilah sama-sama kita melihat skop ujian dan dugaan ini dalam konteks yang lebih luas.Ujian dan dugaan tidak semestinya dalam bentuk wang,kemampuan dan kekurangan namun lebih dari itu.

Ujian atau dugaan yang disebut di dalam al quran adalah berupa bentuk kelaparan,kemiskinan dan rosak tanaman.Itu yang terdapat di dalam al quran. Malah jika kita membuka lebih luas skop ujian,kita akan dapati bahawa sesungguhnya kemewahan dan kejayaan juga merupakan ujian dan dugaan dari Allah.Walaupun dari sisi pandangan masyarakat,kemewahan dan kejayaan adalah perkara yang baik namun di sisi pandangan Allah amat berbeza.Allah sebut di dalam al quran yang bermaksud “ Barangkali kamu membenci sesuatu,sedangkan ia baik untuk kamu dan barangkali juga kamu menyukai sesuatu sedagkan ia buruk untuk kamu”.

Kemewahan dan kejayaan juga merupakan salah satu skop ujian dan dugaan. Tatkala Allah mengurniakan kemewahan dan kejayaan,dicampakkan ujian untuk melihat adakah kita mudah lupa diri,bongkak,sombong dan sebagainya.Kekayaan juga merupakan perkara baik jika bijak dalam menguruskannya namun sebaliknya ia akan menjadi perkara buruk seandainya kita terleka dengan wang,terasyik dengan kebendaan.Kemiskinan juga merupakan suatu bentuk ujian dari Allah untuk melihat kita sama ada kita menjadi hamba yang bersyukur atau menjadi kufur dek kerana tidak tahu nak bersyukur.



Akhir kalam,saya ingin mengajak diri ini sebagai insan biasa yang lemah serta saudara saudari sekalian agar marilah sama-sama kita kembali kepada fitrah manusia iaitu bertuhankan Allah tiada tuhan yang layak disembah melainkan Dia lah yang Maha Esa.Ayuhlah sama-sama kita melihat semula segala ujian dan dugaan adalah peringatan dari tuhan bukan sebagai suatu masalah yang tiada akhirnya.Kita akan lebih rasa dihargai oleh tuhan seandainya kita melihat ujian dan dugaan merupakan anugerah yang tak ternilai dari tuhan namun sebaliknya jika kita melihat ujian dan dugaan merupakan masalah dan musibah bagi kita,maka jauhlah kita dengan Allah.Ingatlah,setiap detik ujian dan dugaan mendatang itu adalah detik yang paling dekat untuk bermanja dengan sang pencipta kita.

ARDHUL KINANAH

Ardhul Kinanah
Bumi yang penuh barakah
Yang di dalamnya
Terdapat segala ilmu
Hatta digelar sebagai KIBLAT ILMU
Seandainya generasi Al Azhar
Tidak dapat mewarisi keagungan ilmunya
Maka tiada sinar ilmu gelaplah dunia
Sepi seluruh semesta…

Ardhul Kinanah
Kaulah Ummu Dunya
Ibu segala dunia
Raja segala Negara
Disinilah bermulanya
Jelajah dakwah Musa A.S
Disinilah juga bermulanya
Jejak rakus Firaun yang mengaku tuhan


Ardhul Kinanah
Hatiku cair melihat keagunganmu
Jiwa berombak tatkala melihat sirna ilmu
Seakan-akan mahu ku rakus semuanya
Namun disebalik semua itu
Terdapat mehnah dan dugaan
Yang mendidik aku erti kehidupan yang sebenar

Saturday, 5 October 2013

KHALWAT DI SISI ISLAM

Kadang-kala kita menjadi leka dan lalai dalam lautan manusia di luar sana. Di sebalik pujian demi pujian yang dilontarkan, iblis semakin cekap dalam melaksanakan misinya membuatkan kita terlena dibuai mimpi indah bahawa kitalah yang terbaik, kitalah yang termasyhur, ilmu kitalah yang terhebat dan syurga adalah pasti kerana usaha & amalan kita selama ini. Kita menyangka bahawa kita melakukan kebaikan tetapi rupa-rupanya di akhirat sana tiada bahagian untuk usaha kita di sini. Kenapa???

Kerana iblis akan mencantikkan kebathilan sehingga lebih menonjol dari kebenaran dan malahan ketika kita menempuh jalan yang benar dan melakukan kebaikan, iblis tetap tidak berputus asa kerana mereka akan berusaha pula membuatkan kita melakukan kemaksiatan melalui kebaikan. Do the right thing in a wrong way.

Jadi ambillah peluang sekali-sekala untuk berkhalwat. Begitu banyak sekali di sebalik berkhalwat ini. Mengingatkan diri tentang masa silam, merenung masakini & memikirkan serta merancang masa hadapan - kematian yang pasti menjelma tiba. Saya sedang menikmati manfaat berkhalwat kerana tiada banyak program dalam seminggu dua ini.

* Khalwat menurut Islam adalah di mana seseorang menunjukkan kesunyian dengan bertafakur terhadap Allah dan supaya mengingati-Nya setiap masa dengan menyebut nama Allah di dalam hati, fikiran atau secara lisan. Namun sedihnya perkataan khalwat kini lebih sinonim & difahami oleh masyarakat dengan perbuatan yang mengaibkan di mana lelaki & perempuan bukan mahram berdua-duaan. Khalwatlah secara Islamiah...

Tuesday, 24 September 2013

KEMBALILAH BERSATU

Mari kita sama-sama fikirkan, kita mempunyai seorang kawan baik yang bukan Islam dan mengajak ke rumahnya untuk menjamu selera. Sudah pasti kita menolaknya. Tetapi jika dia seorang Islam, tentu tidak menjadi masalah kepada kita. Ini menunjukkan Islam menjadi titik tolak perhubungan sesama manusia. Dan Allah swt menceritakan pautan hati di kalangan Islam adalah dengan kurniaan Allah yang maha besar sebagaimana firmanNya;

و الف بين قلوبهم لو انفقت ما فى الارض جميعا ما الفت بين قلوبهم لكن الله الف بينهم انه عزيز حكيم

Artinya, Dan yang mempersatukan hati mereka. Walaupun kamu membelanjakaan semua harta kekayaan yang berada dibumi , nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesunguhnya dia maha perkasa lagi maha bijaksana . Al- Anfal 63

Peribahasa yang biasa kita dengar, Bersatu Teguh Bercerai Roboh merupakan ungkapan ke arah perpaduan. Hadis Nabi tidak terkecuali dalam memupuk dan menggalakkan umat Islam agar menghayati nilai-nilai perpaduan seperti kasih-sayang, hormat menghormati, dan bertolak ansur sesama Islam.

Sebagaimana hadis yang masyhur kita dengar, لا يؤمن احدكم حتى يحب لاخيه ما يحب لنفسه

Artinya :- Tidak beriman seseorang kamu dengan iman yang sempurna, sehinggalah ia kasih kepada saudaranya sebagaimana ia kasih kepada dirinya sendiri.

Maka dengan penerangan Hadis dan Al-Quran tersebut fahamlah kita, perpaduan termasuk dalam urusan agama dan amat dituntut di dalam Islam. Manakala sifat yang suka kepada permusuhan dan perbalahan sesama Islam, amatlah di benci Allah dan Rasulnya. Sebagaimana maksud daripada sabda junjungan manusia iaitu, Yang paling Allah benci ialah yang keras kepala dalam perbalahan ( Riwayat bukhari dan muslim )

Firman Allah swt ini menunjukkan kepada kita supaya menghulurkan perdamaian jika pihak musuh ingin berbuat demikian.

وان جنحوا للسلم فاجنح لها وتوكل على الله انه هو السميع العليم-الانفال 61

Maksudnya : Dan jika pihak musuh cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya dia maha mendengar lagi maha mengetahui – al- anfal 61

Manusia yang memusuhi perpaduan adalah mereka yang telah memasuki perangkap syaitan dan kuncu- kuncunya. Perasaan dendam dan taksub tidak mengira tempat menjerumuskan seseorang ke kancah permusuhan dan perpecahan. Musuh-musuh Islam samaada yang boleh dilihat oleh mata seperti orang- orang kafir ataupun yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar iaitulah syaitan, amat suka jika umat Islam berpecah-belah dan bercakaran sesama sendiri.

Untuk memupuk perpaduan sekalipun, bukannya mudah. Namun adalah sesuatu yang tidak mustahil, tidak semestinya pada sudut politik sahaja. Banyak sudut lain atau perkara yang menjadi persamaan di antara kita umat Islam.

Langkah pertama untuk kita memupuk semangat perpaduan ialah, Kedua-dua pihak perlu mengikhlaskan diri kerana menuntut keredhaan Allah, Bukannya ada agenda tersembunyi untuk mendapatkan sesuatu kepentingan samada politik atau lainnya. Dan Insyaallah, niat yang murni akan membuka jalan yang positif.

Langkah kedua, mengkurangkan polemik berpolitik. Kedua-dua pihak hendaklah menjuruskan ke arah isu kepentingan bersama, seperti isu agama. Contohnya isu hak penjagaaan anak, apabila salah seorang ibu bapa yang bukan Islam memeluk Islam, maka hendaklah hak penjagaan anak tersebut diserahkan kepada ibu bapa yang Islam. Begitu juga isu murtad. Kedua-dua pihak boleh mengambil pendekatn bersama. Tidak kurang juga isu hak keistimewaan bumiputra yang boleh merapatkan jurang perpecahan.

Langkah ketiga, pihak yang berkuasa memegang tampuk pemerintah hendaklah mengurangkan tekanan kepada pihak yang satu lagi dan tidak menganak-tirikan golongan yang satu lagi samada dari sudut politik mahupun ekonomi.

Langkah keempat, setiap individu muslim hendaklah melihat sesuatu perkara dengan neraca fikiran, berlapang dada dan tidak menggunakaan sentimen kepartian semata- mata. Di samping itu individu muslim hendaklah berada di atas ikatan 'makasidul syariyyah' yang mengajak kita melakukan pengislahan dan menjauhkan kerosakan.

Islam menetang sebarang bentuk assabiah iaitu semangat perkauman dan menyokong kumpulannya dengan melulu tanpa berfikiran waras. Jika dahulu, assabiah boleh diertikan taksub kepada kaum sendiri, bangsa sendiri, atau kumpulan sendiri. Dan assabiah boleh diertikan juga, mereka yang melulu dan mengunakan sentimen kepartian semata- mata tanpa menilik kepada kesan jangka panjang sesuatu masalah yang dihadapi.

Rasulullah saw bersabda, bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang menyeru kepaada assobiah, bukan dari golongan kami mereka yang berpegang atas asobiah, dan bukan dari golongan kami, sesiapa yang mati atas dasar assobiah( Abu Daud)


Rasulullah ada bersabda yang maksudnya secara umum demikian, Janganlah kamu bersangatan membenci seseorang kerana mungkin suatu masa nanti ia akan menjadi sahabat kamu dan janganlah kamu melampau mengasihi seseorang kerana kemungkinan suatu hari kelak ia menjadi musuh kamu . Oleh itu, sama-samalah kita merenungkan sesuatu yang amat tinggi nilainya disisi  Allah dan penghidupan kita.

WARKAH KEINSAFAN

Bismillahirrahmanirrahim,
Dengan nama Allah yg Maha Pemurah lagi Penyayang,
Sudah terlalu lama diri ini tidak menulis.Keringnya ruh seorang hamba kerana kurangnya masa diluangkan untuk menghisab diri dan untuk mengenal penciptanya.Ku baca ayat-ayat dalam surah ar-ra’du .Aku terkesima tatkala membaca ayat ke-11

“Baginya (manusia)ada malaikat-malaikat yg selalu menjaganya bergiliran dari depan dan belakangnya.Mereka menjaganya atas perintah Allah.Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.Dan apabila Allah menghendaki keburukan kepada sesuatu kaum maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada yg dapat menolaknya dan tidak ada pelindung selain Dia”

Subhanallah, selama ini aku melakukan sesuatu sesuka hati.Aku terlupa bahawa ada malaikat-malaikat yg sentiasa mencatat amal-amalku.Aku sudah lamatahu malaikat-malaikat itu ada mencatat amal manusia,TAPI AKU TERLUPA sehingga terkadang tindakan yang diambil itu tidak seharusnya berlaku.
Aku sering bermohon “Ya Allah berikanlah kejayaan yang cemerlang kepadaku dalam peperiksaan”.Namun bagai mana aku ingin cemerlang jika usaha aku tak setara mana.Asal penat tidur.Tiada usaha untuk melawan kepenatan.Kalau usahaku di takat lama bagaimana harus Allah memberikan kejayaan yg lebih daripada usahaku itu.

Terima kasih Allah kerana telah memberikan “rasa” yg aku terkadang “lupa” dan “leka”.Aku bukanlah siapa-siapa.Aku hanyalah hamba Allah yg lemah dan selalu melakukan kesilapan.
Namun, itu bukanlah satu alasan untuk aku terus merasa lemah dan tenggelam dengan kesilapan.Inilah masanya untuk berubah untuk menjadi lebih baik.Allah mengira setiap usaha kita.

Jika tak ditunaikan permintaan kita sekarang, mungkin ditangguhkan untuk masa depan.Atau mungkin juga Allah mengambil doa-doa kita untuk menebus dosa-dosa kita yang perasan atau tidak sentiasa banyak.Jika dihitung nikmat Allah nescaya kita tidak akan mampu menghitungnya.

BELAJARLAH DARI KESILAPAN

Ramai orang takut untuk silap. Silap dan salah kadangkala dipandang sebagai sesuatu yang amat negatif dalam kehidupan insan. Ya, kalau kita lihat secara sekali lalu – silap dan salah – sememangnya adalah negatif.
Tetapi sebagai manusia, kita tak akan mampu mengelak diri daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Tidak kira sehebat mana pun kita mempersiapkan diri, akan wujud juga keadaan-keadaan di mana kita melakukan kesilapan.
 Namun sebenarnya, kegagalan, kesilapan, kesalahan bukanlah sesuatu yang negatif 100%.
Kita patut memandang kegagalan, kesilapan dan kesalahan itu daripada luar kotak kebiasaan.

Kadangkala, kita bersedia hingga sampai tahap kita merasakan bahawa kita telah faham atau merasakan bahawa kita telah mampu melakukan terhadap sesuatu perkara.
Untuk soalan periksa kita rasa kita sudah boleh jawab semua jenis soalan.
Namun tiba-tiba, kita melakukan kesilapan. Apa yang kita faham rupanya tidak tepat. Apa yang kita siap sediakan rupanya tidak kena dengan apa yang dikehendaki dalam pekerjaan. Kita telah tersalah. Kita gagal mendapat keputusan yang cemerlang. Kita gagal dalam melakukan kerja yang terbaik.Di sini kalau keimanan itu wujud bersama kita, pertama sekali kita akan bersangka baik kepada Allah SWT.“Mustahil Allah nak zalim pada aku.”

Hal ini kerana, jelas wujud Hadith 40 Karangan Imam An-Nawawi: Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman : “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman…”
Maka kita akan melihat semula kesilapan kita itu.

“Kenapa aku silap? Di mana aku silap? Macam mana aku boleh tersilap.”
Dan ketahuilah, apabila kita muhasabah semula, kita akan mendapat satu perkara baru. Pengajaran baru. Yang mana sekiranya Allah izin kita tidak silap dalam kesilapan kita tadi, kita tidak akan mempelajari pengajaran tersebut. Kita tidak akan mengetahuinya. Namun dengan kasih sayang Allah SWT, dengan hikmahNya yang tersangat luas, Allah ingin kita melihat sesuatu. Sebab itu disilapkan kita.Tidakkah kita fikirkannya???

Akhirnya apabila mendalami perkara ini, yakni belajar daripada kesilapan ini, kita akan melihat bahawa kesilapan, kegagalan, kesalahan, itu semua adalah pelengkap kepada kehidupan. Orang yang memerhatikan kesilapannya semula, kegagalannya semula, akan mempunyai kesedaran yang lebih tinggi, kepekaan yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak pernah peduli akan kegagalan mereka.Inilah dia apa yang suka saya sebutkan sebagai ‘membaca kehidupan’. Bukan sekadar bergantung kepada teori-teori di dalam buku semata-mata. Namun melihat juga apa yang telah kita lalui di dalam kehidupan kita.Belajar daripada kesilapan, belajar daripada kegagalan, itu semua banyak membantu untuk membina satu peribadi yang lebih mantap.

JOM TANGANI PANAS BARAN

Apabila kita marah syaitan mudah untuk menggoda kita melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Betul tak? biasanya terjadi macam tu kan. Lepas kita tersedar baru kita terfikir apa yang kita lakukan tadi adalah tidak betul. Perhatikan bila orang marah keadaan diri seperti hilang pertimbangan. Di waktu itulah orang akan melihat sikap sebenar seseorang. :


Cara mengatasi marah dalam Islam ialah:
  1. Mengubah Posisi - Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.” (Riwayat Muslim)
  2. Berwuduk - Rasulullah s.a.w bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (HR Abi Daud) .
  3. Minum air.
  4. Mendiamkan diri ketika marah dan banyakkan istighfar di dalam hati.
  5. Mohon berlindung kepada Allah daripada syaitan.
  6. Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.
  7. Berfikiran positif.
  8. Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; elakkan daripada memekik atau bertindak garang.
  9. Bawa bertenang seperti menarik nafas.
  10. Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan.