Sunday, 28 December 2014

NUKILAN CINTAKU

Kau mungkin menghilang dari pandanganku….
Tetapi tidak dari hatiku
Kau mungkin jauh dari jangkauanku….
Tetapi tidak dari fikiranku

Kehadiranmu dalam hidupku
Membawa sejuta pijar lentera
Senyuman, canda tawa, serta cintamu
Mampu menyembuhkan lukaku di masa lalu
Kaulah yang membuatku bangkit dan percaya lagi akan cinta 





Malam menemaniku
Bersama cahaya kecil yang gelita
Sekadar untuk ku lihat wajahmu dibalik cermin hatiku
Yang menerobos ke alam fikiranku kala ini
Hatiku sentiasa mendambakan sebuah kasih setulus hatimu
Kekuatanmu juga kekuatanku

Padaku
Mungkin puisiku ini tidak seindah biasa
Namun cukuplah dirimu tahu
Puisi ini hanya untukmu sayang
Ku ciptakan hanya untukmu
Nukilan cinta ini buatmu bidadari
Penyeri di mata penyejuk di hati 




Ku tahu cinta tak semestinya memiliki setiap hari
Kasih dan sayang tidak semestinya di baitkan setiap detik
Namun mengertilah sayang
Dirimu selalu ada dihatiku

Ku selalu menyimpan dirimu dalam hidupku
Biarlah semua ini menjadi yang terindah
Semoga suatu hari nanti
Akan ada keajaiban
Diantara kau dan aku bersatu


KERANA RAHMAT ALLAH

Semua orang ingin masuk syurga di akhirat. Siapa kata, dia tidak mahu masuk syurga, nyatalah dia berbohong. Buktinya lihat bagaimana seluruh manusia tanpa kecuali seorang pun sedang sibuk mencari jalan dan berusaha untuk dapat syurga dunia. Iaitu sekurang-kurangnya rumah besar yang lengkap dengan perabut dan pakaian, makanan, hiasan dan lain-lain serba mewah. Itulah keinginan semua. Kerana semua menganggap pada rumah yang begitulah ada kebahagiaan dan keindahan hidup. Dan itulah hakikat syurga. Walaupun syurga dunia sebenarnya bukan pada rumah tapi pada hati. Yang mana kalau hati bahagia rumah kecil pun indah, walhal dalam keadaan hati menderita, kalau berada dalam istana sekalipun tetap terasa juga penderitaan itu. Rasa sempit dan menghimpit. Sebab itulah bagi orang yang mengetahui rahsia ini, hidupnya tidak digunakan untuk memburu kekayaan. Keutamaan akan diberikan pada memburu iman dan taqwa. Yakni hati yang penuh berisi ingatan dan cinta pada Allah dan pertemuan dengan-Nya yakni di hari kiamat. 



Bagaimana pula untuk dapat masuk syurga di akhirat? Dengan sembahyang, puasa, haji, zakat dan dengan segala amalan-amalan kita selama ini? Jawabnya, tidak. Sebab ahli syurga itu semuanya ke syurga kerana rahmat Allah. (Walaupun amal ibadah itu juga adalah dituntut). Manakala ahli neraka itu masuk neraka kerana keadilan-Nya. Siapa yang dapat rahmat dapatlah syurga itu dan siapa yang tidak dapat rahmat itu, maka tidak akan terbukalah pintu syurga untuknya walau bagaimana banyak pun ibadahnya. Kalau begitu, kenalah kita mencari dan mendapatkan rahmat Allah. Iaitu dengan melakukan amalan-amalan atau perkara yang boleh mendatangkan kasihan belas Allah pada kita. Lihat pertanyaan Allah pada Imam Ghazali, sesudah wafat beliau, "Amalanmu yang mana yang menyebabkan Aku menerima engkau dekat padaku?" Dalam keadaan Imam itu tertanya-tanya, Allah pun beritahu, "Iaitu kerana engkau membiarkan seekor lalat meminum dakwat dari penamu sewaktu engkau sedang menulis." 



Tentu kita pelik dengan kisah ini. Kenapa Allah tidak pandang pada jasa bakti Imam Ghazali yang sungguh banyak dan besar-besar terhadap agama Allah itu, sebagai sebab untuk dia masuk syurga? Sedangkan Allah berjanji untuk balas semua kebaikan sekalipun sebesar zarah? Jawabnya pintu syurga terbuka kerana satu amalan yang paling ikhlas, yang dibuat dengan susah payah dan betul-betul kerana Allah. Yang mana kalau bukanlah kerana takutkan Allah pasti amalan itu tidak dapat dibuatnya kerana susah dan payahnya amalan itu bagi individu itu. Amalan yang boleh membuatkan seseorang itu masuk syurga bukannya sama, antara seorang dengan seorang yang lain. Sebab manusia memang tidak sama hal keadaan mereka. Ukuran senang dan susah itu berbeza dari seorang ke seorang. Kerana itu darjah keikhlasan dalam melakukan satu-satu amalan tidaklah sama. Siapa yang dapat melakukan amalan yang paling berat padanya untuk dilakukan dengan niat betul-betul kerana Allah, maka berjayalah dia untuk mendapatkan kasihan belas (yakni rahmat Allah) dan syurga-Nya. Yang mana kalau orang lain melakukan hal yang sama, belum tentu sebab itu orang itu dapat masuk syurga. Sebab perkara itu mungkin tidak berat baginya, malah memang dia suka melakukannya.


DI MANA ALLAH DI HATI KITA ?

Sesekali kita perlu merenung jauh ungkapan “ di mana Allah dalam hati kita,” agar kita dibayangi kasih sayang Allah dengan apa yang kita lakukan, dalam kehidupan harian yang banyak menjurus kepada habuan duniawi lebih daripada mengingati Allah.Kita perlu meletakkan dalam minda beberapa persoalan untuk dijawab, di mana ia boleh membantu meningkatkan iman,hubungan serta keupayaan untuk maju dalam pelaksanaan ibadat yang sangat-sangat dituntut oleh Islam. Persoalan seperti-adakah kita telah mengagungkan Allah dalam perkara yang patut diagungkan? Bagaimana pula keagungan terhadap Allah menyerap masuk dalam sanubari kita?Sehubungan ini, Saidina Ali bin Abi Talib ada mengungkapkan kata-kata masyhurnya yang memuji golongan solihin, antara lain beliau menyebut: sesungguhnya keagungan Allah sentiasa bertapak dalam hati, apa yang mereka lihat selainNya adalah kecil belaka.




Cuba perhati serta renung secara mendalam kehidupan golongan solihin, yang penuh dengan pujian terhadap Allah atas segala keagungan ciptaanNya.Suasana ini telah menjadikan mereka sentiasa cermat dalam bertindak, berusaha tidak menyinggung kesucian Islam dengan kata-kata atau perbuatan. Mereka hanya takut kepada Allah dan tidak kepada makhluk apatah lagi derhaka kepadaNya.Keagungan hanya layak disanjung terus kepada Allah, tidak memohon sesuatu melainkan kepadaNya. Hati mereka hanya berpaut hanya untukNya, semua yang ada di muka bumi ini kerdil dan bersifat sementara, hanya Allah sahajalah yang kekal tanpa kesudahan.Justeru, di manakah kita terhadap cinta kepada Allah? Bagaimana hubungan kita denganNya? Adakah kita benar-benar memelihara kebenaran konsep cinta hanya kepadaNya atau ada yang lain turut menerima cinta kita untuknya? Adakah kita telah melakukan apa yang dikehandakiNya dalam proses kita meletakkan cinta hanya kepadaNya? 





Ketahuilah sekalian umat Islam, walau di mana mereka berada, dalam apa jua jawatan yang disandangnya, sesungguhnya Allah tidak suka kepada hambaNya yang memenuhi ruang hidupnya dengan pelbagai kebendaan dunia, hingga tiada ruang Allah di dalam hatinya.Apatah lagi untuk mengingatiNya dengan berzikir, jika Allah Maha Besar dalam segenap tindak-tanduk hambaNya, anak yang disayangi dijadikan korban tanpa berbelah bagi, itulah terjadi yang kepada Nabi Ibrahim yang menyembelih anak kerana patuh kepada perintah Allah.Dalam hal ini, baginda Rasulullah dan para sahabat tidak banyak bertanya, apatah lagi ragu terhadap perintah Allah untuk menghalakan kiblat ke Baitullah (Kaabah). Walaupun sebelum itu kiblat yang dihalakan adalah Masjid al-Aqsa, kerana Allah adalah segala-galanya dalam hidup mereka. Hidup dan mati mereka hanya untuk Allah dan bukan yang lain, kerana yang lain selain Allah akan mati dan memerlukan sokongan lantaran kelemahan dan tidak sempurna.

Tuesday, 16 December 2014

PEPERIKSAAN : MELATIH JIWA BERTAWAKKAL

Kehangatan peperiksaan atau ujian semakin membahang. Persediaan demi persediaan mula kita gerakkan.Pejam celik pejam celik,detik terus berlalu meninggalkan kita tanpa sebarang penyesalan.Timbul persoalan di sini, sejauh manakah persediaan kita bagi menghadapi imtihan sedangkan kita ini secara hakikatnya hanya makhluk yang lemah dan senantiasa memerlukan tempat kebergantungan dari yang Maha Berkuasa. Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan apabila hamba2Ku bertanya padamu(muhamad) tentang(Aku),maka katakankan pada mereka sesungguhnya Aku ini dekat dengan mereka. Aku kabulkan permohonan orang-orang yang berdoa apabila dia berdoa padaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi(perintahKU) dan beriman padaKU,agar mereka memperolehi kebenaran".(al-Baqarah:186) 



Secara fitrahnya manusia ini dicipta dalam keadaan naif dan lemah yang mana sampai satu saat kita berkehendak  MENCARI PERTOLONGAN dan BANTUAN.Ayat ini cukup jelas adalah untuk memberikan motivasi untuk kita semua.Apabila kita hendak  menghadapi dengan UJIAN atau PEPERIKASAAN tentu sahaja kita akan menghadapi dengan perasaan STRESS dan juga rasa kacau bilau.Sebab itu Islam mendidik kita beberapa cara untuk kita berhadapan dengan sifat dan perasaan yang bercelaru ini.Islam anjurkan kepada kita EMPAT perkara bagi menghadapi perasaan STRESS dan juga perasaan kacau bilau ini

Perkara yang pertama yang Islam anjurkan pada kita ialah dengan BERDOA.Kita di galakkan untuk berdoa di penghujung solat ketika sujud yang terakhir kerana sujud merupakan satu tempat paling DEKAT dengan Allah SWT.Ketika inilah peluang kita untuk MEMINTA KEJAYAAN yang diberkati Allah SWT.Selain itu juga kita di galakkan untuk melafazkan DOA pada satu pertiga malam kerana waktu ini lah yang waktu terapi stress yang paling sesuai untuk kita. 



Perkara yang kedua ialah dengan wirid atau pun ZIKIR. Secara psikologinya kita hanya mampu untuk fokus dalam mengulang kaji pelajaran hanya 45minit sahaja.Alangkah bijaknya kita sekiranya kita berhenti seketika sebelum sambung ulang kaji pelajaran selepas 45minit itu dengan BERZIKIR. Dalam hadith sohih Rasulullah s.a.w bersabda:"Ada dua kalimah yang mudah untuk kamu sebut dengan lidah,tetapi berat timbangan di sisi Allah dan dua kalimah yang sangat dikasihi Allah s.w.t,dua kalimah itu ialah Subhanallah wa biham dihi,Subhanallah hil a'zim"


Perkara yang ketiga ialah untuk menghadapi tekanan dan perasaan kacau bilau ini Islam juga mengajar kita untuk menghadapi perasaan ini dengan MEMBACA AL-QURAN kerana  al-Quran dapat membuka pintu HIKMAH,KETENANGAN dan juga pintu HIDAYAH. Al quran merupakan kalam mukjizat dari Allah yang sudah tentu di dalamnya mempunyai seribu satu penawar yang membolehkan hamba Nya melepaskan tekanan perasaan kacau bilau ini. Di dalam surah Al-Israa’ ayat 82,Allah SWT  berfirman:

“Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya.” 



Perkara yang keempat ialah islam juga menganjurkan kita untuk sentiasa MENGEKALKAN DIRI DENGAN WUDHUK kerana kita akan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan suci dalam wudhuk.Para malaikat juga suka pada orang yang berwudhuk dan para malaikat akan berdoa memohon keampunan pada Allah terhadap orang yang berwudhuk.InsyaAllah,tanpa dosa sudah tentu diri kita akan berada dalam keadaan tenang.Jadi,sebelum nak mengulang kaji pelajaran,sama-sama kita latih diri kita untuk berwudhuk terlebih dahulu supaya kita mendapt ketenangan dan mudah untuk ingat apa yang kita baca.


Marilah sama-sama kita berdoa agar kita menghadapi peperiksaan dengan penuh ketenangan dan keyakinan serta diberkati dan di beri pertolongan dari Allah SWT  Dalam satu hadith qudsi Allah berfirman yang bermaksud: ("Aku ini berada pada sangkaan hambaKu padaKU"). Jika baik sangkaan kita pada Allah,maka baiklah Allah pada kita.Andai kata kita tidak yakin maka itulah yang kita akan perolehi.Adab kita berdoa hendaklah penuh dengan pengharapan dan keyakinan. 

Tuesday, 2 December 2014

MENGUMPAT : RINGAN DI MULUT BERAT DI AKHIRAT

Mengumpat bermaksud seseorang menceritakan keburukan, kelemahan peribadi dan tindakan orang yang tertentu kepada orang lain yang tidak disukainya. Pada hakikatnya perbuatan mengumpat dilakukan secara sengaja dan tidak disedari oleh seseorang yang suka mengumpat di samping tidak dapat mengawal lidahnya daripada membicarakan kelemahannya atau keburukan peribadi orang lain. Dalam Islam perbuatan mengumpat adalah salah satu sifat yang tercela dan menjadi amalan orang yang tidak beriman dan munafik. Islam melarang keras umatnya mengumpat terhadap sesama muslim kerana boleh mendatangkan akibat yang buruk.




Orang yang suka mengumpat adalah diumpamakan sebagai orang yang memakan daging bangkai saudaranya sendiri. Perbuatan mengumpat boleh meninggung perasaan, hati dan kehormatan orang lain yang akhirnya boleh menimbulkan permusuhan dan perbalahan antara satu sama lain.Rasulullah S.A.W melarang umatnya mengumpat kerana banyak mendatangkan buruk sangka dan fitnah terhadap orang lain.Sepertimana yang di sabdakan baginda yang bermaksud : Setiap orang Islam terhadap sesama Islam itu haram darahnya (tidak boleh membunuh), hartanya (tidak boleh merampasnya) dan kehormatannya (tidak boleh mengumpat) – Muslim & At Termizi).



Ia di samakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.Lihatlah betapa besarnya dosa orang yang mengumpat. Ringan di mulut, berat timbangan dosa di akhirat. Yakni ringan sahaja untuk kita mengumpat, tetapi dosa itu teramat berat dan besar di sisi Allah SWT. Perkara ini terlalu biasa bagi masyarakat kita sehingga tidak sedar akan dosa-dosa dari perbuatan mengumpat.

Monday, 1 December 2014

DI SEBALIK TANGGAL 1 DISEMBER

Di sebalik tanggal 1 Disember,
Seorang ayah,hatinya resah berbau seribu macam perasaan dihati.Teruja,gementar,resah gelisah,gembira dan bahagia disaat menantikan sebuah kelahiran anak lelaki yang menjadi penantian dari dahulu lagi.Sungguh hati si ayah tidak dapat disembunyikan lagi seribu macam perasaan menunggu lahirnya seorang lahi putera harapan bangsa,negara dan agama.Si ayah,sudah tentu telah memikirkan masa depan anak yang bakal dilahirkan ini.Sudah tentu si ayah telah mencorakkan bagaimana susur galur kehidupan anaknya nanti.


Di sebalik tanggal 1 Disember,
Seorang ibu,hatinya berdebar-debar teruja bagi melahirkan seorang anak lelaki yang selama ini dikendong kesana kesini selama 9 bulan.Perasaan bahagia bercampur gembira ini menuntut untuknya lebih kuat dan tabah dalam usaha melahirkan seorang anak ini.Beliau menahan sejuta macam keperitan dan kepedihan,menerima sejuta macam cabaran dan dugaan,menghadapi pelbagai ubat-ubatan dan suntikan jarum. Demi berjuang melahirkan seorang putera yang diharapkan menjadi tiang seri agama,bangsa dan negara.




Di sebalik tanggal 1 Disember,
Jarum menunjukkan tepat jam 6 pagi,hati seorang ayah resah gelisah memikirkan nasib 2 nyawa insan yang semestinya paling disayangi dan dicintai.Adakah selamat dilahirkan atau sebaliknya.Hati seorang ibu pula,masih berjuang menahan dan menghadapi seribu macam kesakitan,keperitan dan kesukaran demi melahirkan seorang insan yang menjadi harapan mereka ini.2 hati tetapi berkongsi satu perasaan yang sama demi menantikan kehadiran insan baru.Si ayah terus menunggu dan menunggu manakala si ibu pula berjuang dan terus berjuang meskipun nyawa yang menjadi gadaian.


Di sebalik tanggal 1 Disember,
Akhirnya lahirlah seorang putera yang selama ini menjadi penantian mereka.Si ayah menangis kegebiraan sambil meyambut kedatangan insan baru ini.Si ibu menangis kesyukuran dek kerana berjaya dengan selamatnya melahirkan insan baru ini.Dunia sekali lagi menyaksikan bahwa mereka inilah insan yang paling gembira dan bahagia disaat lahirnya insan baru ini yang sudah semestinya menjadi tonggak harapan agama,bangsa dan negara.Dunia turut menjadi saksi bahwa mereka inilah insan yang paling mulia mengandungkan,menyusukan serta mendidik insan ini menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.



Di sebalik tanggal 1 Disember,
Terima kasih mak terima kasih abah yang selama ini mengendong insan ini ke hulu ke hilir,menyusukan ia serta bekerja keras memerah keringat tenaga demi membesarkan insan yang kerdil ini.Jasamu mak jasamu abah,Allah jualah saksi atas segala-galanya. Yang membesarkan insan kerdil ini dari sebesar ibu jari hingga menjadi insan yang berguna nanti.Doaku insan kerdil ini,moga Allah merahmati serta memberkati perjalanan hidup dua insan paling mulia ini.Ampunkanlah mereka tempatkanlah mereka di temapat orang-orang yang soleh.Jadikanlah mereka ini insan-insan yang terpilih untuk bersama-sama para solehin,siddiqin dan para anbiya. Ameen.

KESENIAN DI KACA MATA ISLAM

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah swt kepada seluruh manusia tanpa mengenal bangsa yang bersumberkan al-Quran, Sunnah dan Ijma' Ulama. Islam adalah agama yang nyata dan sesuai dengan fitrah manusia, pada semua tempat, zaman dan situasi menepati citarasa, kehendak, sifat, keinginan, nafsu, perasaan dan akal fikiran manusia. Dalam jiwa, perasaan, nurani dan keinginan manusia terbenamnya rasa sukakan keindahan dan keindahan itu adalah seni. Seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata dan bahasa.

Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan perbezaan antara seni Islam dengan bukan Islam ialah dari segi niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil seni Islam. Pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah swt. Walaupun seni merupakan salah satu unsur yang disumbangkan tetapi Allah melarang penciptaan seni yang melampaui batas. Firman Allah swt dalam surah Al Baqarah ayat 190 yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas."



Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah swt lantas segala yang diciptakanNya juga merupakan pancaran keindahanNya. Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan juga dihiasi dengan segala keindahan. Allah swt bukan sekadar menjadikan manusia sebagai makhluk yang terindah tetapi juga mempunyai naluri yang cintakan keindahan. Di sinilah letaknya keistimewaan manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain sama ada malaikat, jin dan haiwan. Konsep kesenian dan kebudayaan dalam Islam berbeza dengan peradaban Islam yang lain.

Dalam pembangunan seni, kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Seni mestilah merupakan satu proses pendidikan yang bersifat positif mengikut kaca mata Islam, menggerakkan semangat, memimpin batin dan membangunkan akhlak. Ertinya seni mestilah bersifat menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran serta membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah. Semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan terakhir iaitu keredhaan Allah dan ketaqwaan. Semua nilai mestilah ditundukkan dalam hubunganNya serta kesanggupan berserah diri. Seni juga seharusnya menjadi alat untuk meningkatkan ketaqwaan.



Dalam Islam, seni tidaklah bermatlamatkan hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan. Islam telah menggariskan kesenian sesuai mengikut naluri dan fitrah semulajadi manusia. Sewajarnyalah juga manusia mengemudi seni mengikut fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan sempadan syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia manusia. Bahkan sekiranya betul pembawaan seni itu, ia dikira ibadah pula. Alangkah ruginya manusia Muslim yang tidak tahu bagaimama untuk membawa kecenderungan makhluk sejenisnya ke arah ketaqwaan kepada Allah swt. Seni Islam dibentuk untuk melahirkan seseorang yang benar-benar baik dan beradab.

Konsep seni Islam dan pembawaannya haruslah menjurus ke arah konsep tauhid dan pengabdian kepada Allah swt. Motif berseni haruslah bermatlamatkan perkara-perkara ma'ruf (kebaikan), halal dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah swt. Fungsi seni tidak kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaanNya.



DALAM MENYEULUSURI KEHIDUPAN INI

Kekayaan sekalipun jika dimiliki oleh seorang insan, tidak akan dapat memberikan ketenangan jiwa selagi dia tidak menemui jalan Tuhannya yang sebenar. Demikian itu, disebabkan Allah telah memfitrahkan dalam jiwa insan kehendak kepada kebenaran dan keinginan menyelusuri hidup dengan cara yang diredai-Nya.Jika ada insan yang menyeleweng dari fitrah ini, jiwanya akan menderita sekalipun dia mewah dan berkuasa. Sekalipun kelihatan gembira dan bersuka, namun di sudut sanubarinya kekosongan yang memeritkan. Insan yang tidak menyelusuri hidup atas landasan Tuhan akan sentiasa merasai kekosongan dalam jiwa atau pencariannya yang belum selesai. Jika dibiarkan, ia akan menjadi barah amat perit.


Kita selalu membaca berita artis-artis terkenal mengambil dadah atau orang ternama membunuh diri. Mereka bukan kekurangan harta, pengaruh atau kehilangan ruang untuk berpesta. Mereka kehilangan fitrah yang luhur. Maka akidah yang benar, pegangan agama yang jujur dan kehidupan berpandukan peraturan Allah adalah keperluan jiwa insan dan ubat bagi kesakitan perasaan. Jika insan tidak mengambil ubat ini, sekalipun kita melihat senyuman manisnya, namun di sudut perasaannya, ada seakan pemberontakan jiwa dan gangguan ketenangan yang tidak berkesudahan. Jika dia sedar, dia akan mencari kebenaran.




Sebab itu kita membaca ramai tokoh terbilang di Barat dan Timur mencuba berbagai-bagai agama. Sehingga akhirnya alhamdulillah ada yang menganut Islam. Jika dia tidak sedar, dia akan mengubatinya dengan mendapatkan kegilaan hidup menerusi aktiviti-aktiviti yang bermacam sebagai cubaan mencari ketenangan jiwa.Itulah sebabnya, sesetengah manusia membuat berbagai-bagai aktiviti yang pelik seperti merempit motosikal dengan cara yang memusnahkan diri, terjun dari tempat tinggi dengan cara yang berbahaya dan seumpamanya. Atau mungkin aktiviti yang baik seperti perjuangan membela kehidupan haiwan atau tumbuhan tertentu.


Walaupun amat baik dan bersesuaian dengan Islam, namun sebahagian aktiviti yang terlibat itu sebenarnya sedang mencari ruang mengisi satu kekosongan yang tidak dapat difahami dalam jiwa mereka. Manusia adakalnya ia akan tersempit.Kesempitan itu bukan kesempitan harta atau kuasa, tapi jiwa yang gagal menemui hakikat sebenar kebahagiaan. Ia seakan sesak dan penuh resah meraba-raba sesuatu yang dirasakan bagai kehilangan. Sesuatu itu sebenar adalah cahaya hidayah Allah.


Tuesday, 25 November 2014

SELAMAT PAGI CINTA

Selamat Pagi Cinta
Semoga hari-harimu ini indah
Hatimu secerah hari ini.
Secerah matahari bersinar menerangimu
Moga langkah yang kau jejak dihari-harimu
Selalu bawa kebahagiaan di hatimu

Selamat Pagi Kasih
Biarkan musim berganti.
Bulan demi bulan, tahun demi tahun.
Tak mudah kulupakan dirimu bidadariku. 



Selamat Pagi Sayang
Lihatlah aku dikaca mata hatimu
Yang selalu bermain di  fikiranmu.
Mengisi di segenap ruang jiwamu.
Menyapamu menghiasi hari-harimu.


Selamat Pagi Rindu
Lihat senyumku hanya untukmu
Dengarkan suaraku nyanyian rindu
Akanku teduhkan jiwa dan ragamu
Kerana aku mencintamu dengan kesungguhan ku.

Tuesday, 18 November 2014

SALAM TAHNIAH & TAKZIAH BUAT SAHABATKU

Tanggal 18 November 2014, bumi kinanah menyaksikan dua orang sahabat akrab saya telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Tertinggi KPP (Keluarga Pelajar-Pelajar Perlis), Mesir. Terlebih dahulu salam tahniah dan takziah buat 2 insan yang sentiasa bersama saya dalam mengenal erti sebuah perjuangan. Selamat menjalankan amanah dengan baik dan moga Allah merahmati perjalanan mereka.Tugas dan tanggung jawab adalah tuntutan kehidupan yang tak mampu dielakkan. Manusia yang jutaan tidak akan pernah lari darinya. Sekalipun ia amat melelahkan dan banyak bahkan kadang lebih banyak dari waktu yang tersedia. Malah tanggung jawab itu sering tidak dapat dituntaskan sehingga perlu dilanjutkan oleh yang lain. Kerana ia datang terus menerus seiring berjalannya waktu. Seorang pendaki gunung pernah berujar, ‘Naik gunung itu amat melelahkan, berat dan cape. Akan tetapi bila sudah sampai di puncak maka kita akan merasakan nikmatnya berada di puncak gunung. Namun bila kita lengah maka akan menjadi mara bahaya sebab banyak jurang yang dalam yang siap menelan kita’. Ungkapan ini bila dikaitkan dengan perjalanan memegang amanah memiliki persamaan. Ketika perjalanan menggalas cabaran ini meniti jalan kemenangannya terasa memang berat dan melelahkan.


Setiap manusia yang berada di permukaan bumi ini memiliki amanah dan tanggung jawab, kecil atau besar, ringan ataupun berat, baik amanah yang datang dari sang Khaliq maupun yang datang dari sesama manusia. Semuanya dituntut untuk menjalankan amanah itu dengan sebaik mungkin. Islam telah mengajarkan ummatnya untuk memiliki sifat mulia ini, banyak keistimewaan bagi siapa saja yang menghiasi dirinya dengan sifat ini, sebaliknya ada ancaman keras bagi siapa saja yang melalaikannya. Amanah adalah menunaikan kewajiban dan tanggung jawab serta menjaganya untuk mereka yang menitipkannya. Seorang muslim yang baik adalah yang mampu menunaikan amanah yang dipikulkan di pundaknya dengan sempurna, tidak berlaku curang atau khianat padanya. Allah Ta’ala menawarkan amanah kepada makhluk-makhluk ciptaanNya, namun mereka enggan menjalankannya disebabkan tanggung jawabnya besar dan berat, lalu amanah ini diterima oleh manusia, Kita dituntut untuk menjalankan amanah ini sebagai khalifah (wakil Allah) di muka bumi; menjalankan syariat Islam dalam seluruh lini kehidupan kita. 




Realiti yang kita saksikan banyak di antara manusia yang mengabaikan amanah ini, berpaling darinya dan memilih agama selain Islam, atau tidak sempurna dalam menjalankannya. Terlihat dengan nyata masih banyak yang meninggalkan kewajiban agama seperti solat, puasa, zakat dan haji, atau masih terbuai dalam kemaksiatan seperti zina, judi, makanan dan minuman haram, serta maksiat lainnya.Termasuk amanah dari Allah Ta’ala adalah tubuh kita yang harus kita jaga kesihatannya dan tidak digunakan dalam perbuatan durhaka kepadaNya, harta yang Allah titipkan kepada kita untuk dibelanjakan dalam hal-hal yang diizinkanNya. Anak dan keturunan juga amanah yang Allah Ta’ala berikan kepada kita untuk kita didik agar mengenal kewajibannya sebagai hamba Allah dan kewajiban hidup sebagai manusia.Selain itu antara sesama manusia juga ada amanah yang harus dijaga dan ditunaikan dengan baik. Sebagai penghujung bicara, buat sahabat yang telah diberi kepercayaan menggalas cabaran dan amanah dari Allah ini, ku titipkan doa bermunajat pada Nya dengan peuh pengharapan agar kalian sentiasa dikurniakan kekuatan bagi memimpin serta membimbing umat ini. Salam tahniah dan takziah.



Monday, 10 November 2014

MAAFKANKU BUAT SEKIAN KALI

Ku berjalan mencari sesuatu yang indah
Berharap akan ada seseorang yang mencintaiku
Dan selalu ada bidadari yang mengisi kekosongan hatiku
Dan akhirnya aku menemuimu yang berharap bertemu jodohnya
Lalu ku petik sebuah bunga yang indah ditaman
Dan aku persembahkan bunga itu buatmu yang tersayang
Yang akhirnya engkau jua menerima petikan bunga cintaku ini 


Bermula sebuah cerita tentang kita disaat hati kita menjadi satu
Melayari bahtera agung menuju titian kasih redha ilahi
Dan disaat satu ketika aku mulai melukaimu hari demi hari
Kau tetap setia,jujur dan ikhlas menerima aku seadanya
Airmata mu selalu menjadi mangsa perbuatanku yang melukaimu itu
Hatimu sering menjadi dinding bertahannya kasihmu terhadap ku 




Aku kesal dan aku menyesal diatas segala perbuatan melukaimu
Bukan niat ku apatah lagi maksud ku untuk menyakitimu sayang
Terkadang saat aku akan tidur, aku menangis pilu memikirkan dirimu
Meskipun hujan aku tetap memikirkanmu kerana kau yang terindah untukku
Jadi maafkanlah aku insan yang sering melukaimu

Kasih,maafkanlah segala kesalahanku kerana hanya kaulah yang ada di hatiku
Walaupun aku sering menyakitimu mungkin kerana ku tak fahami maksud hatimu
Berikanlah ku kesempatan untuk memperbaiki kesalahanku
Kerana ku tak mahu kehilanganmu bidadariku sayang
Ku kan selalu cintaimu ku kan selalu menyayangimu ku kan selalu merinduimu
Setulus hatiku seikhlas cintaku sejujur hatiku kau sangat berharga bagikuJanganlah pergi menjauh dariku kerana kaulah segalanya bagiku

Sunday, 12 October 2014

KORBAN & HAJI MENUNTUT PENGORBANAN

Setiap tahun pada bulan Zulhijjah, jutaan umat Islam mengunjungi Baitullah di kota Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Pada setiap 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam menyambut kedatangan hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban. Pada hari itu, umat Islam mengadakan solat sunat hari raya di samping menyembelih binatang ternakan seperti unta dan lembu untuk dikorbankan. Penyembelihan korban dilakukan setelah selesai solat Aidil Adha dan masih dapat dilakukan pada hari-hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.


Dalam sejarah, menurut Al-Quran, korban pertama yang dilakukan manusia adalah oleh dua orang adik-beradik, putera Nabi Adam, Qobil dan Habil. Kerana suatu sengketa, mereka diperintahkan untuk melaksanakan korban, untuk menentukan siapa yang benar dalam persengketaan tersebut. Korban Habil diterima dan korban Qobil ditolak. Oleh kerana Habil berkorban dengan ikhlas menjalankan perintah Allah, sedangkan Qobil berkorban dengan maksud menenangkan persengketaan tersebut. 




Sepanjang sejarah kehidupan manusia, ramai yang telah berkorban kerana Allah SWT. Umpamanya pada zaman Rasulullah SAW, ramai para sahabat berkorban untuk menegakkan agama Islam. Mereka bukan saja berkorban harta tetapi juga jiwa raga. Saidina Ali telah mempertaruhkan nyawanya sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Uthman RA banyak mengorbankan harta untuk menegakkan agama Islam. Demikianlah pengorbanan umat Islam yang terdahulu.


Ibadat haji dan korban menuntut pengorbanan. Ini kerana tanpa semangat berkorban, orang akan keberatan untuk mengeluarkan perbelanjaan ke Mekah, meninggalkan keluarga dan pekerjaan untuk memenuhi panggilan Allah. Untuk menyembelih haiwan terpaksa juga mengeluarkan belanja. Bukan senang untuk mengorbankan harta jika hati tidak bersih daripada sifat kedekut atau sayangkan harta melaksanakan korban dengan menyembelih binatang.


Ibadat haji yang dilakukan pada masa ini juga menunjukkan ketaatan kepada Allah, apabila seseorang itu secara sukarela mengikut kesemua rukun haji meskipun ia memenatkannya. Ibadat haji juga mengajar erti persamaan dan persaudaraan. Apabila menunaikan haji, seorang akan merasakan bahawa kedudukan mereka sama sahaja di hadapan Allah. Dengan berpakaian ihram bagi lelaki dan bertelekung bagi perempuan, seperti tiada perbezaan di antara satu sama lain baik orang kaya atau miskin, pemimpin atau rakyat jelata.

Monday, 22 September 2014

KUKUHKAN PERSEFAHAMAN ELAKKAN PERBALAHAN

Bersempena dengan kedatangan bulan zulhijjah pada kali ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan merenung kembali tentang tahap persefahaman yang wujud di kalangan kita semua. Sejak kebelakangan ini, telah banyak dipaparkan tentang persengketaan yang timbul di dalam masyarakat kita, samada yang melibatkan hal-hal keagamaan mahupun perbezaan ideologi politik di peringkat bawahan dan juga di peringkat atasan. Ianya berpunca daripada kurangnya persefahaman berasaskan Islam sehingga menjejaskan hubungan baik dan keharmonian dalam masyarakat. Perkara ini tentunya menimbulkan keresahan terutamanya di kalangan kita yang peka dengan isu-isu kemasyarakatan yang berlaku pada hari ini. Apatah lagi perkara ini boleh menjejaskan proses pembangunan ummah itu sendiri.


Persefahaman adalah perkara yang amat penting sebelum sesebuah umat itu dapat dibangunkan. Persoalannya, bagaimanakah persefahaman ini dapat diwujudkan. Persefahaman tidak akan wujud sekiranya kita hanya mementingkan pendapat diri kita sendiri tanpa mengambil kira pandangan orang lain. Persefahaman juga tidak akan wujud dalam ertikata yang sebenarnya jika kita hanya mengagung-agungkan pandangan individu atau kumpulan-kumpulan tertentu sahaja. Sebaliknya setiap pandangan yang berbeza itu haruslah diberikan pertimbangan dengan meletakkan prinsip ukhuwwah atau persaudaraan Islam sebagai asasnya. 




Rasulullah s.a.w telah membuktikan bagaimana baginda telah berjaya menyatupadukan dan mewujudkan persefahaman di kalangan masyarakat Islam Madinah melalui persaudaraan berlandaskan aqidah. Sebelum kedatangannya, kabilah-kabilah Arab seperti Aus, Khazraj, bahkan kaum yahudi dan lain-lain pada ketika itu saling bertelagah sesama mereka. Mereka lebih mengutamakan assabiah dan perkauman sehingga seringkali terjadi peperangan hanya disebabkan oleh perkara-perkara yang kecil. Namun akhirnya, perbalahan ini telah berjaya diselesaikan oleh baginda dengan cara mempersaudarakan umat Islam dan membina masjid sebagai lambang perpaduan mereka.


Perselisihan para pemimpin dan kecelaruan umat  hari ini secara tidak langsung menyebabkan ruang dan peluang oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa menanti masa untuk menghancurkan umat Islam. Musu-musuh Islam tidak pernah leka semenjak kemunculan Islam di kota Mekah sehinggalah ke hari ini, mereka terus menerus berusaha untuk melemahkan umat Islam. Apabila umat Islam lemah, maka ia adalah masa yang paling baik untuk mereka melaksanakan tindakan menghapuskan Islam dan juga umatnya. Marilah kita bersama-sama mempertahankan persaudaraan Islam dan persefahaman antara kita sehingga ke akhir hayat. Berwaspadalah daripada tipu daya syaitan dan kuncu-kuncunya yang sentiasa berusaha ingin memecah belahkan perpaduan umat .

WANITA : MAKHLUK ISTIMEWA

Wanita merupakan topik yang selalu menarik untuk dibahas. Dalam suatu kisah, Tuhan menciptakan wanita dengan kelembutan untuk melengkapi sifat keras lelaki, menciptakan keindahan paras dan melengkapinya dengan tutur kata yang halus untuk menenangkan hati lelaki yang gusar. Wanita adalah sosok istimewa yang diciptakan Tuhan untuk menjadi makhluk yang pantas dicintai dan dihormati. Untuk melengkapi keindahan ciptaanNya, Tuhan mengizinkan wanita menggunakan perhiasan indah seperti emas permata. Tuhan menciptakan sosok hebat terlahir dari rahim seorang wanita dan membentuk peribadi hebat dari didikannya. Tuhan juga menyertakan perasaan yang kuat sekaligus sangat rapuh pada diri wanita. Tuhan telah mengistimewakan wanita, sayangnya banyak wanita yang tak menyedari dirinya sangat berharga.


Wanita yang menyedari dirinya berharga akan menutup aurat dan menjaganya. Tetapi di zaman sekarang dengan kepopularan hak asasi manusia dan ideologi demokrasi liberal, wanita bebas memilih pakaian.Wanita adalah makhluk yang istimewa. Allah sendiri yang sebut dalam surah an-Nisa agar wanita menjulurkan jilbab dan menjaga pandangannya. Untuk apa? Sudah tentu untuk menjaganya. Kerana wanita begitu berharga, Allah muliakan ia dengan menjadikan seluruh tubuhnya aurat kecuali telapak tangan dan wajahnya. 




Wanita istimewa kerana hanya mereka ini yang Allah izinkan untuk mampu melahirkan dan menyusui anaknya. Dari rahimnya terlahir manusia-manusia pemimpin dunia, dari rahimnya lahir generasi-generasi penerus bangsa. Di tangannyalah terletak madrasah pertama. Ucapannya adalah doa yang mustajabnya langsung naik ke langit tujuh lapis. Maka jika ia “sempurna” nescaya anak-anaknya pun terjaga. Istimewanya wanita jangan lagi ditanya. Bahkan seorang kekasih Allah, Rasulullah, ketika ditanya, “Kepada siapa aku harus berbuat baik, wahai Kekasih Allah?” “Ibumu, Ibumu, Ibumu, lalu Ayahmu,” jawabnya. Tiga kali disebut, menandakan begitulah kemuliannya.



Sedarlah duhai wanita sebelum datangnya sinar islam ,wanita dizalimi , hak wanita dicerobohi,wanita ditanam hidup-hidup , tiada penghormatan walau secebis oleh kaum adam, tiada nilaian dimata adam, wanita hanya sebagai alat untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Tapi kini bila rahmat islam menyelubungi alam bila sinar islam berkembang ,darjat wanita diangkat ,maruah wanita terpelihara,wanita dihargai dan di pandang mulia,dan mendapat tempat di sisi Allah sehingga tiada sebaik-baik hiasan didunia ini melainkan wanita solehah.Sedarlah wanita kau makhluk paling istimewa. Tangan yang mengoncang buaian mampu mengoncang dunia , sedarlah wanita engkau mampu mengoncang dunia dengan melahirkan manusia yang hebat yakni yang soleh solehah , kau mampu mengegar dunia dengan menjadi isteri yang taat serta memberi dorongan dan sokongan pada suami yang sejati dalam menegakkan islam di mata dunia. 

Saturday, 20 September 2014

KISAH TENTANG KITA

Menyingkap kembali detik pertemuan dua hati ini,membuatkan hati ini hiba dan sedih. Bukan kerana tidak suka bertemu dengannya namun jika difikirkan kembali, sungguh hebat percaturan takdir oleh Nya. Benarlah kata orang, tuhan tidak pernah mensia-siakan doa hamba Nya. Kita akan dapat tetapi apa yang kita dapat itu kadang kala tidak disukai oleh namun percayalah ia yang terbaik sebenarnya untuk diri ini. Merenung sejenak nasib diri ini,tatkala hati merasa diri ini terlalu kerdil dihadapan manusia, disaat diri ini hanya mampu melihat orang lain bahagia,hatiku tersentuh membuatkan diri ini sepenuhnya bergantung pada Nya seratus peratus. Kadang kala nafsu menjengah diri ini untuk memilih jalan mudah bagi meraih bahagia beralasankan mahu kenal hati budi, namun tatkala iman diuji, Allah jualah sebaik-baik penolong.  


Sememangnya hati ini merasa sunyi sepi tanpa hadirnya seseorang yang istimewa. Allah jualah tempat hati ini mengadu segala resah gelisah, sunyi dan sepi. Tahun demi tahun, hari silih berganti,umur semakin singkat untuk terus beribadat padaNya. Titisan air mata sentiasa menghujani hati ini tatkala diri ini bersedih memikirkan soal jodoh. Namun dengan takdir Nya ini, hati ini disambut bahagia oleh seorang bidadari yang merupakan wanita solehah bagi diri ini. Perwatakannya yang menarik,hiasan dirinya hanyalah semata-mata iman dan taqwa,tidak pernah mengenali lelaki dan sentiasa jujur dalam berkata-kata,membuatkan hati ini terus getar rasanya.Tidak pernah dijangkau dek akal,dapat membuka pintu hati seorang puteri bidadari ini.Melihat akan peribadinya sebagai seorang wanita solehah,membuatkan hati ini tidak sempurna tanpanya. Dirinyalah pelengkap hidup ini sebagai seorang hamba ilahi.Terasa amat kerdil dibandingkan dengan perwatakannya yang solehah bak kata pujangga, penyejuk di mata penawar di hati.




Dalam perkenalan yang singkat,hati ini terus bergetar mercu menandakan bahwa langkah ini semakin pasti untuk bina masjid bersama bidadari ini. Tidak pernah bertemu apatah lagi untuk bersua,namun dengan kuasa  Allah yang Maha Merancang sesuatu yang diluar pengetahuan makhuk Nya,akhirnya hati ini bertemua jua di atas titian kasih berlandaskan syariat ilahi. Bertambah indahnya titian kasih ini, bila bertemu walinya dan memohon restu ayah bonda.Alhamdulillah segala perjalanan mengikat janji telah lancar berjalan.Dengan izin Nya jua, diri ini berkesempatan berjumpa dan berpisah kerana Allah. Tidak pernah disangka oleh akal yang cetek ini,mendapat anugerah hadiah yang paling istimewa dari Allah,iaitu bertemu hati mengikat janji dengan sang bidadari. Wajahnya yang disulami wudhuk,hatinya yang sentiasa memuji Allah,malah gerak langkahnya melihatkan bahwa dia seorang serikandi di zaman milineum ini.


Ya Allah Ya Rab, Tuhan yang mengetahui sesuatu yang tersembunyi, peliharalah hubungan kami ini hingaa ke pintu syurga Mu. Pimpinlah hubungan kami ini dengan redha Mu ini.Ya Allah, Demi Allah di atas namamu ini, hati ini menyeru padaMu, satukanlah hati kami ini diatas jalan redha Mu ilahi. Demi nama Mu yang penuh dengan keagungan ini, diri yang lemah lagi hina ini amat menyintai dirinya melebihi nafas dan rohku ini. Tenangkanlah hati ini menunggu saat terbinanya masjid atas redha Mu.Sesunguhnya soal jodoh ini adalah rahsia langit ilahi. Diri ini hanya mampu berdoa,berdoa dan terus berdoa. Percayalah, Allah tidak pernah mensia-siakan doa kita melainkan Dia menggantikan dengan insan yang lebih baik dari apa yang kita nampak dalam pertemuan yang tidak dijangka. 



Friday, 19 September 2014

DIA LAYAK HANYA UNTUKKU

Kupejamkan sejenak kedua mataku
kupanjatkan perlahan doaku kepada sang pecipta
kusebut perlahan namamu..
dihening sunyi ku menadah tangan
memohon agar aku kekal bahagia bersamanya


Bibirku bergetar mataku berkaca kaca
ketika kusebut namamu dengan penuh syahdu
ya namamu nama seseorang yang aku cintai
nama yang mungkin adalah nama terindah yang pernah kudengar 



Dalam setiap doaku kusebut namamu
entah mengapa namamu selalu tersebut dalam setiap doaku
entah mengapa hanya doa agar aku dan kamu dapat bersama selamanya
entah mengapa  aku selalu ingin kau menjadi bidadari hatiku


Disetiap doaku namamu kusebut
berharap kamu adalah jodoh yang tuhan berikan untukku
berharap kamu adalah bidadariku yang akan menemaniku menuju syurga
berharap kamu adalah umi dari anak anakku kelak 



Sesekali dalam doaku aku menangis ,
menangis karna rasa takut menyelimuti hatiku
ya rasa takut akan kehilanganmu itu menjelma menjadi suatu sosok
yang menakutkan dalam hidupku


Ya tuhan.. ku menaruh banyak harap padamu
jadikanlah dia tercipta untukku bidadari dunia akhiratku
jadikanlah dia tempat ku melabuhkan tirai cintaku ini
bisikkanlah pada hatinya bahawa
DIA LAYAK HANYA UNTUKKU 

Wednesday, 17 September 2014

MAAFKANKU ATAS SEJUTA KESALAHAN

Beribu maaf aku lontarkan untukmu sayang
berjuta sesal aku rasakan dalam hati ini
mengdambakan sebuah maaf darimu sayang
maaf yang tak sempat aku ukirkan
saat aku melakukan berjuta kesalahan ini 




Maafkan aku sayang
terdampar aku dalam kegelisahan ini
terfikir berjuta kesalahan yang kulakukan
apa yang harus aku lakukan
agar maaf ini kian berbunga dan membawa harum
dan kau mampu tersenyum bersamaku lagi
dalam setangkai percintaan bahkan lebih 




Maafkan aku sayang
tak ada niat aku berbuat seperti itu
hanya sebuah kesempatan yang mendorongku
apa yang harus aku lakukan sayang
agar kau mampu berbesar hati dengan ketulusanku
aku janji takan pernah mengulangi lagi
kerana aku bahagia jika kau ada didekatku