Secara jujur,kita tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang
dibangkitkan oleh Sister In Islam dan ada beberapa perkara yang kita rasa
mereka melakukan kerja yang baik khususnya isu membela kezaliman keatas wanita.Antara
isu yang menjadi pertikaian oleh SIS ialah isu poligami.SIS mendakwa poligami
ini hanya satu bentuk penindasan dan kezaliaman ke atas kaum wanita. Malah SIS berpandangan
berpoligami ini lebih membawa mudharat dan kehancuran rumahtangga. Secara
prinsipnya,poligami itu tidak salah tetapi yang menjadi masalahnya pada hari
ini ialah bagaimana kita melaksanakan dan menguruskan perihal berpoligami
ini. Sekiranya kita mempersoalkan mengenai ketidakadilan dalam berpoligami,maka
monogami juga terkadang mempunyai keganasan dalam rumahtangga. Maka sebetulnya
ialah bukan poligami itu yang salah tetapi bagaimana kita melaksanakannya.Antara
isu lain lagi ialah harta faraid yang menyatakan bahawa lelaki lebih banyak
dapat bahagian daripada kaum wanita.Dari segi logik akalnya,lelaki semestinya
mendapat lebih kerana lelaki lebih banyak tanggungan daripada wanita.
Menjadi tanggungjawab bagi para suami untuk membelanjakan hartanya
sebagai nafkah pada keluarga.Tanggungjawab membelanjakan harta pada keluarga
ini tidak dibebani pada kaum wanita.Jadi kerana itulah syariat menyatakan
lelaki akan mendapat bahagiannya lebih banyak berbanding kaum wanita.Maka
secara tuntasnya,tidak timbul langsung isu ketidakadilan dalam pembahagian
harta faraid.Namun,kita juga tidak dapat menafikan pertubuhan SIS mempunyai
usaha-usaha membela nasib wanita yang tidak bernasib baik.Antaranya ialah
penderaan isteri yang tidak mendapat tempat dan perhatian oleh mahkamah syariah.Nasib
golongan isteri yang seringkali dijadikan bahan untuk melepaskan geram,marah
dan sebagainya tidak mendapat perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang
berkenaan.Berdasarkan pengalaman beberapa individu,golongan isteri yang
ditindas,di zalimi dan di kasari ini bukannya tidak membuat aduan pada pihak
yang berkenaan tetapi mereka ini seringkali diminta bersabar dan tabah
menghadapinya.Nasihat-nasihat yang sebeginilah yang membuatkan para suami lebih
bertindak ganas dan keterlaluan dalam rumahtangga.
Inilah yang seringkali dibangkitkan oleh pertubuhan SIS dalam
hendak membela nasib para isteri yang ditindas oleh suami.Dalam islam
sekalipun,jika terang-terang para suami melakukan kekasaran pada isteri maka
pisahkanlah mereka untuk mengelakkan kezaliman terus berleluasa.Keganasan dalam
rumahtangga adalah bercanggah sama sekali dengan matlamat asal perkahwinan
iaitu untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan. Pertubuhan SIS menimbulkan
isu ini adalah sebagai tindak balas daripada kegagalan golongan agamawan
menyelesaikan isu seperti ini.Sepatutnya bukan tugas SIS untuk membela golongan
wanita kerana islam itu sendiri menjadi pelindung untuk kaum wanita.Usaha-usaha
yang dilakukan oleh pertubuhan SIS ini secara tidak langsung akan membuka pintu
hati kita khususnya golongan agamawan untuk melihat dan menilai semula sejauh
mana tahap pengurusan mahkamah syariah pada hari ini.Kita tidak dapat nafikan
pertubuhan SIS ada juga perkara yang positifnya. Apabila perkara-perkara
seperti ini dibangkitkan oleh sebuah pertubuhan sekularisma, maka secara tidak
langsung ia telah memberikan gambaran yang salah tentang islam itu
sendiri.Sewajarnya golongan agamawan,para pemikir islam dan para alim ulama lebih
layak membawa dan menyelesaikan isu-isu ini bukan dengan berbalah, bersengketa
pada perkara yang khilaf.
Oleh itu,jika sekiranya kita ingin menghukum pertubuhan SIS ini
sebagai sebuah pertubuhan haram,ini perlu dilihat dengan lebih teliti sebelum
kita mengharamkannya. Jika kita hendak menghukum sesuatu pertubuhan dengan
hukum haram,maka perlu bagi mereka hak untuk membela diri dahulu kerana ini
adalah islam.Islam sendiri mendidik kita untuk memberikan hak yang seluasnya
pada tertuduh untuk membela diri. Maka sekiranya mereka ini benar-benar
didapati bersalah berdasarkan fakta yang jelas,bukan sekadar persepsi atau
anggapan semata-mata,maka wajarlah untuk diharamkan.Tetapi sekiranya kita tidak
membuka ruang perbincangan yang seluasnya pada mereka,lalu kita terus
mengharamkannya tanpa soal selidik,maka perkara ini tidak betul dalam islam.Malah
sekiranya golongan agamawan yang mengharamkannya tanpa mengajak kembali kepada
islam yang sebenar,tanpa memberitahu tentang islam sejelasnya,maka secara tidak
langsung,sedar ataupun tidak,kita telah melakukan satu kerugian besar.Rugi
dalam membiarkan mereka terus sesat meredahi jalan kegelapan. Jadi sebelum
beritndak mengharamkan sesuatu,berfikirlah sejenak dan renungkan kembali
kesannya selepas itu.